Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 7

Cara melukis garisan trend dan saluran harga

16/09/26
9 min

Perkara utama:

Pengenalan

Memahami trend pasaran membantu anda melihat arah pergerakan harga, manakala carta pula memberikan gambaran yang lebih jelas untuk menyokong analisis anda.

Garisan trend ialah salah satu alat analisis teknikal yang paling mudah untuk memahami sesuatu trend. Dengan menghubungkan paras penting pada carta, anda boleh mengenal pasti arah trend dan kawasan yang berpotensi mencetuskan reaksi harga.

Saluran harga pula menggunakan konsep yang sama. Ia terdiri daripada dua garisan selari yang membentuk julat pergerakan harga, dengan satu garisan menunjukkan had atas dan satu lagi had bawah.

Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari asas garisan trend dan saluran harga, cara melukisnya, cara ia membantu anda memahami pergerakan harga, serta beberapa kesilapan lazim yang perlu dielakkan.

Apa itu garisan trend?

Garisan trend ialah garis lurus yang dilukis pada carta harga untuk membantu anda melihat arah trend pasaran.

Garisan trend tidak menghubungkan setiap paras tinggi atau rendah. Sebaliknya, ia menghubungkan paras harga yang penting untuk menunjukkan arah pergerakan pasaran.

Terdapat dua jenis garisan utama:

Garisan trend menaik mencerun ke atas dan menghubungkan dua atau lebih paras rendah yang signifikan.

Dalam trend menaik, setiap paras tinggi dan paras rendah yang terbentuk biasanya lebih tinggi daripada sebelumnya. Dengan menghubungkan paras rendah ini pada carta, anda dapat melihat had bawah pergerakan harga dengan lebih jelas. Garisan ini boleh bertindak sebagai sokongan dinamik, iaitu paras di mana tekanan belian pernah muncul apabila harga bergerak turun menghampirinya.

Garisan trend menurun mencerun ke bawah dan menghubungkan dua atau lebih paras tinggi yang signifikan.

Semasa trend menurun, harga secara amnya membentuk paras tinggi yang lebih rendah dan paras rendah yang lebih rendah. Dengan menghubungkan paras tinggi ini, anda dapat melihat sempadan atas trend dengan lebih jelas. Garisan ini boleh bertindak sebagai rintangan dinamik, iaitu paras di mana tekanan jualan sebelum ini meningkat apabila harga bergerak lebih tinggi menghampiri garisan tersebut.

Berbeza daripada paras sokongan dan rintangan mendatar, garisan trend merentasi carta secara pepenjuru mengikut pergerakan pasaran.

Mengapa pedagang menggunakannya?

Garisan trend memudahkan anda memahami pergerakan harga dengan memberikan gambaran visual tentang arah pasaran.

Pedagang lazimnya menggunakannya untuk:

  • Mengenal pasti arah trend
  • Mengesan kawasan yang berpotensi menjadi paras sokongan atau rintangan
  • Memerhati sama ada trend sedia ada berterusan
  • Memberikan konteks tambahan untuk bentuk analisis teknikal yang lain

Kecerunan garisan trend juga boleh memberikan gambaran visual tentang kadar pergerakan harga pada carta tertentu. Garisan yang lebih curam mungkin menunjukkan pergerakan harga yang lebih pantas, manakala kecerunan yang lebih landai menunjukkan trend yang bergerak lebih perlahan.

Namun begitu, sudut garisan sahaja tidak semestinya menunjukkan trend yang lebih kukuh atau berterusan lebih lama. Skala carta dan keadaan pasaran juga boleh mempengaruhi rupa serta kecuraman garisan pada carta.

Ingat, garisan trend hanyalah satu alat rujukan. Apabila harga menghampiri atau menyentuh garisan pada carta, ini tidak bermakna harga pasti akan berbalik arah atau terus bergerak dalam arah yang sama.

Cara melukis garisan trend

Walaupun melukis garisan trend agak mudah, penting untuk memilih paras harga yang sesuai.

Melukis garisan trend menaik

  1. Kenal pasti paras rendah yang signifikan sebelum harga mula bergerak menaik.
  2. Cari paras rendah seterusnya yang lebih tinggi.
  3. Sambungkan kedua-dua paras tersebut dengan satu garisan lurus dan leretkan ke kanan.

Garisan yang terhasil mesti mencerun ke atas dan berada di bawah pergerakan harga.

Melukis garisan trend menurun

Bagi trend menurun, prosesnya adalah sebaliknya:

  1. Kenal pasti paras tinggi yang signifikan sebelum harga mula bergerak menurun.
  2. Cari paras tinggi seterusnya yang lebih rendah.
  3. Sambungkan kedua-dua paras tersebut dan leretkan garisan ke kanan.

Garisan yang terhasil mesti mencerun ke bawah dan berada di atas pergerakan harga.

Menilai kesahihan garisan trend

Apabila trend berterusan, perhatikan reaksi harga di sekitar garisan. Pergerakan ini boleh memberikan petunjuk tambahan tentang bagaimana trend tersebut berkembang.

Mengapa sentuhan berulang pada garisan penting?

Dua paras diperlukan untuk melukis sesuatu garisan lurus. Namun, dua paras sahaja tidak semestinya menunjukkan bahawa garisan tersebut benar-benar signifikan kepada pergerakan pasaran. Sebaiknya, cari reaksi harga ketiga di sekitar garisan untuk mendapatkan pengesahan tambahan.

Secara amnya, reaksi harga yang berulang di sekitar garisan trend menunjukkan bahawa kawasan tersebut semakin penting dalam pergerakan harga.

Walau bagaimanapun, harga tidak semestinya menyentuh garisan trend dengan tepat setiap kali. Pasaran sentiasa berubah, jadi jangan anggap garisan trend sebagai paras harga yang tepat. Sebaliknya, lihat garisan ini sebagai kawasan yang menunjukkan di mana harga mungkin bertindak balas.

Apa itu saluran harga?

Saluran harga menggunakan konsep yang sama seperti garisan trend untuk menunjukkan sempadan atas dan bawah pergerakan harga. Ia terdiri daripada dua garisan selari:

  • Garisan trend utama yang menghubungkan paras tinggi atau paras rendah yang signifikan
  • Garisan selari yang berada bertentangan pergerakan harga

Apabila harga bergerak dalam julat antara kedua-dua garisan ini, saluran harga terbentuk. Saluran ini membantu anda melihat arah trend serta julat pergerakan harga dengan lebih jelas.

Terdapat tiga jenis saluran harga utama.

Saluran menaik mencerun ke atas.

Garisan bawah menghubungkan beberapa paras rendah yang lebih tinggi, manakala garisan atas yang selari menghubungkan paras tinggi yang signifikan. Pergerakan harga dalam saluran menaik menunjukkan hala tuju keseluruhan yang menaik, walaupun harga boleh mengalami pergerakan jangka pendek dalam kedua-dua arah.

Saluran menurun mencerun ke bawah.

Garisan atas menghubungkan paras tinggi yang lebih rendah, manakala garisan bawah yang selari menghubungkan paras rendah yang signifikan. Saluran ini menunjukkan trend menurun, walaupun harga masih boleh bergerak naik sebelum kembali menurun.

Saluran mendatar terbentuk apabila harga bergerak antara paras sokongan dan rintangan yang hampir sama, tanpa menunjukkan trend menaik atau menurun yang jelas. Pergerakan seperti ini lazimnya dikenali sebagai pergerakan dalam julat atau pergerakan mendatar.

Walaupun saluran menaik dan menurun membantu melihat arah trend, saluran mendatar pula boleh membantu pedagang mengenal pasti keadaan pasaran apabila tekanan belian dan jualan berada pada tahap yang lebih seimbang.

Cara melukis saluran harga

Saluran harga dibina daripada garisan trend yang telah dikenal pasti pada carta. Setelah anda mengenal pasti arah trend, lukis satu lagi garisan selari untuk membentuk saluran di sekeliling pergerakan harga.

  • Untuk saluran menaik: Garisan trend biasanya menghubungkan paras rendah yang signifikan, manakala garisan selari mengikuti paras tinggi yang signifikan.
  • Untuk saluran menurun: Garisan trend menghubungkan paras tinggi yang signifikan, manakala garisan selari mengikuti paras rendah yang signifikan.

Kedua-dua garisan mestilah hampir selari. Jangan paksa garisan kedua mengikut setiap pergerakan harga kerana ini boleh menyebabkan saluran harga tidak lagi menggambarkan pergerakan harga dengan tepat.

Seperti garisan trend, had saluran harga lebih sesuai dilihat sebagai kawasan rujukan dan bukannya paras harga yang tepat. Harga tidak semestinya bergerak mengikut had tersebut.

Apa yang boleh ditunjukkan oleh garisan trend dan saluran harga?

Garisan trend dan saluran harga membantu anda memahami arah dan corak pergerakan harga dengan lebih jelas. Dengan melukis garisan trend dan saluran harga pada carta, pedagang boleh melihat bagaimana harga bergerak dari semasa ke semasa.

  • Arah trend: Kecerunan garisan memberikan gambaran ringkas tentang sama ada harga secara amnya bergerak menaik atau menurun.
  • Potensi sokongan dan rintangan: Garisan trend menaik boleh menjadi sokongan dinamik, manakala garisan trend menurun boleh menjadi rintangan dinamik. Dalam saluran harga, kedua-dua had ini juga boleh menunjukkan kawasan yang berpotensi mencetuskan reaksi harga.
  • Perubahan pada trend: Jika harga berulang kali bertindak balas pada garisan trend tetapi kemudian mula bergerak melepasi garisan tersebut, ini mungkin menandakan bahawa trend mula berubah. Namun begitu, penembusan bukan semestinya petanda bahawa trend akan berbalik arah. Harga boleh bergerak melepasi garisan buat sementara sebelum kembali mengikut trend asal, atau mula bergerak dalam julat.

Oleh itu, gunakan garisan trend dan saluran harga bersama analisis struktur pasaran yang lebih menyeluruh serta kaedah analisis teknikal yang lain.

Kekangan garisan trend dan saluran harga

Garisan trend dan saluran harga membantu anda memahami pergerakan harga yang kompleks dengan lebih mudah, tetapi anda masih perlu menilai pergerakan harga berdasarkan konteks pasaran.

  • Bergantung pada pertimbangan: Dua pedagang yang melihat carta yang sama mungkin memilih paras tinggi atau paras rendah yang berbeza, sekali gus menghasilkan garisan yang sedikit berbeza. Menggunakan pendekatan yang konsisten dapat membantu mengurangkan perbezaan ini.
  • Harga tidak semestinya bertindak balas pada garisan: Pasaran tidak bergerak mengikut garisan yang dilukis pada carta. Harga boleh bergerak melepasi atau di bawah garisan trend atau had saluran pada bila-bila masa. Oleh itu, lihat garisan ini sebagai kawasan yang mungkin mencetuskan reaksi harga, bukan sebagai petunjuk bahawa harga pasti akan berbalik arah.
  • Trend tidak sentiasa jelas: Apabila harga bergerak dalam julat atau secara tidak menentu, mungkin sukar untuk mengenal pasti garisan trend yang sesuai.

Dalam situasi sedemikian, melukis garisan pada carta apabila tiada corak yang jelas boleh memberikan gambaran yang mengelirukan tentang arah pasaran. Paras sokongan dan rintangan mendatar mungkin memberikan maklumat yang lebih berguna apabila tiada trend yang jelas.

Kesilapan lazim

Melukis garisan trend dengan tepat memerlukan latihan. Beberapa kesilapan lazim boleh menyebabkan garisan trend yang dilukis memberikan gambaran yang kurang tepat tentang arah pasaran.

  • Melaraskan garisan mengikut carta: Garisan trend seharusnya mencerminkan pergerakan harga yang sedia ada, bukannya dilaraskan berulang kali untuk menyokong pandangan tertentu tentang pasaran. Jika tiada titik tinggi atau rendah yang jelas untuk dihubungkan, mungkin memang tiada garisan trend yang sesuai untuk dilukis.
  • Bergantung pada dua paras harga sahaja: Dua paras harga sudah mencukupi untuk melukis garisan, tetapi belum tentu cukup untuk menunjukkan bahawa harga benar-benar bertindak balas terhadap garisan tersebut. Perhatikan bagaimana harga bergerak apabila menghampiri garisan itu semula untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
  • Menganggap setiap penembusan sebagai pembalikan trend: Apabila harga bergerak melepasi garisan trend, ini menunjukkan bahawa pergerakan harga sudah berubah, tetapi itu sahaja belum cukup untuk mengesahkan bahawa trend keseluruhan telah berbalik. Sebelum membuat kesimpulan bahawa arah pasaran telah berubah, lihat struktur pergerakan harga secara keseluruhan.
  • Bergantung pada garisan trend sahaja: Garisan trend hanyalah salah satu cara untuk melihat pergerakan harga. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih lengkap tentang keadaan pasaran, gunakan garisan trend bersama konsep lain seperti sokongan dan rintangan, analisis candlestick, serta struktur trend secara keseluruhan.

Kesimpulan

Melukis garisan trend dan saluran harga membantu anda melihat pergerakan harga dan arah pasaran dengan lebih jelas.

Matlamatnya bukan untuk memastikan setiap paras tinggi atau rendah berada tepat pada garisan. Sebaliknya, alat ini membantu anda memahami hubungan antara paras harga dan melihat arah pasaran dengan lebih tersusun.

Semakin mahir anda membaca carta, semakin anda memahami bahawa garisan atau saluran bukan sekadar perlu dilukis dengan betul, tetapi juga digunakan pada keadaan yang bersesuaian.

Dengan memahami asas-asas ini, anda boleh mula melihat corak yang lebih kompleks yang terbentuk daripada hubungan antara sokongan, rintangan dan garisan trend pada carta.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro