Pengenalan
Margin ialah asas kepada dagangan berleveraj. Ia merupakan sejumlah dana yang diperuntukkan oleh broker daripada akaun anda apabila anda membuka sesuatu posisi. Anggap sahaja margin sebagai deposit keselamatan yang memberi jaminan kepada broker bahawa anda mempunyai dana mencukupi untuk menyokong dagangan anda, terutamanya apabila menggunakan leveraj. Dengan memahami cara margin berfungsi serta faktor yang mencetuskan panggilan margin atau stop out, anda dapat mengelakkan penutupan posisi secara mengejut dan berdagang dengan kawalan yang lebih baik.
Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari segalanya tentang margin, cara mengiranya, serta tip berguna yang perlu dipertimbangkan semasa berdagang.
Apakah itu margin?
Margin ialah cagaran yang diperlukan untuk membuka atau mengekalkan dagangan berleveraj. Ia bukan yuran; sebaliknya, ia merupakan deposit keselamatan yang dipegang oleh broker selagi posisi tersebut masih dibuka. Dengan kata lain, margin ialah sebahagian daripada jumlah nilai dagangan yang perlu disediakan daripada baki akaun anda.
Cara mengira margin
Margin yang diperlukan boleh dikira berdasarkan instrumen dagangan menggunakan formula asas berikut:
Margin diperlukan untuk Forex = (lot × saiz kontrak) ÷ leveraj
Margin diperlukan untuk Komoditi, Indeks dan Saham = (lot × saiz kontrak × harga pembukaan) ÷ leveraj
Sebagai contoh, jika anda ingin membuka dagangan bernilai $10,000 dengan leveraj 30:1, anda hanya memerlukan kira-kira $333 dalam akaun anda. Jumlah ini akan "disekat" sebagai margin sehingga dagangan tersebut ditutup.
Ingat, margin anda sentiasa dikira dalam mata wang akaun anda, dan keperluan margin berbeza bergantung pada instrumen, jenis akaun, serta leveraj.
Jenis-jenis margin
Sebelum membuat dagangan, adalah penting untuk memahami dan membiasakan diri dengan pelbagai jenis margin serta keperluannya. Ini akan membantu anda mengurus risiko dengan lebih berkesan dan mengelakkan panggilan margin.
- Margin awal: Jumlah yang diperlukan untuk membuka sesuatu posisi
- Margin penyelenggaraan: Ekuiti minimum yang diperlukan untuk mengekalkan posisi terbuka (digunakan untuk mencetuskan panggilan margin)
- Margin bebas: Ekuiti tersedia yang boleh digunakan untuk membuka posisi baharu atau menampung kerugian, dikira sebagai Ekuiti − Margin
Panggilan margin dan stop out
Panggilan margin dan stop out ialah dua mekanisme keselamatan automatik yang digunakan untuk melindungi anda semasa berdagang:
- Panggilan margin: Anda akan menerima makluman peringatan apabila ekuiti hampir mencapai paras margin penyelenggaraan. Anda akan diminta untuk menambah dana atau menutup posisi
- Stop out: Jika ekuiti terus menurun dan mencapai paras stop out yang ditetapkan oleh broker, posisi akan ditutup secara automatik bagi mengelakkan baki negatif
Paras panggilan margin dan stop out adalah berbeza mengikut broker, kelas aset dan jenis akaun. Namun, terdapat satu peraturan ringkas yang perlu diberi perhatian:
Panggilan margin memberi anda peluang untuk bertindak, manakala stop out pula merupakan langkah perlindungan automatik terakhir.
Cara mengelakkan panggilan margin dan stop out
Panggilan margin dan stop out boleh menyebabkan penutupan posisi secara paksa serta mengganggu aktiviti dagangan anda. Berikut ialah lima cara untuk mengurus risikonya:
- Tetapkan saiz posisi yang munasabah: Jangan sekali-kali menetapkan jumlah melebihi peratusan tertentu daripada modal anda bagi setiap dagangan
- Gunakan pesanan henti rugi (stop loss): Tetapkan risiko sebelum anda memasuki sesuatu dagangan
- Pantau paras margin secara berkala: Sentiasa perhatikan margin bebas dan ekuiti
- Elakkan penggunaan leveraj berlebihan: Leveraj yang lebih tinggi meningkatkan risiko berlakunya panggilan margin dan stop out
- Simpan sebahagian modal dagangan sebagai rizab: Jangan gunakan keseluruhan baki akaun anda untuk margin
Tip untuk membuka dagangan berleveraj
Kami telah menyediakan senarai semak ringkas untuk anda pertimbangkan sebelum membuka dagangan berleveraj:
1. Kira margin yang diperlukan menggunakan formula
2. Semak margin bebas dan ekuiti yang tersedia
3. Tetapkan paras henti rugi (stop loss) dan ambil untung (take profit)
4. Semak acara ekonomi akan datang yang boleh mencetuskan turun naik pasaran
5. Tetapkan peratusan maksimum ekuiti akaun yang sanggup anda risikokan
Kesimpulan
Margin membolehkan anda berdagang dengan leveraj, namun ia perlu diurus dengan baik. Fahami cara mengira margin, ketahui di mana maklumat margin dipaparkan pada platform dagangan, serta paras yang mencetuskan panggilan margin dan stop out. Gunakan saiz posisi yang lebih terkawal, tetapkan pesanan perlindungan, dan pantau akaun anda secara berkala untuk berdagang dengan lebih yakin.

