Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 1

Pengenalan kepada indikator teknikal

12/11/26
9 min

Perkara utama:

Pengenalan

Carta harga memaparkan pelbagai data penting mengenai sesuatu aset. Walaupun anda boleh mengkaji pergerakan harga secara langsung, indikator teknikal menawarkan sudut pandangan berbeza untuk membaca keadaan pasaran.

Indikator menggunakan formula matematik untuk memproses data pasaran. Ini membantu anda melihat corak pergerakan harga dengan lebih jelas. Ada indikator yang membantu menilai arah trend, manakala yang lain mengukur momentum atau tahap volatiliti.

Walau bagaimanapun, dengan ratusan indikator yang tersedia, mungkin sukar untuk memahami apa yang diukur oleh setiap indikator, atau maklumat mana yang berguna untuk membuat analisis.

Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari apa itu indikator teknikal, bagaimana ia berfungsi, kategori-kategori utama, serta peranannya dalam pendekatan analisis teknikal secara menyeluruh.

Apa itu indikator teknikal?

Indikator teknikal ialah alat yang menggunakan formula matematik untuk memproses data pasaran, bagi memberi gambaran jelas tentang pergerakan harga dan trend pasaran.

Kebanyakan indikator menggunakan data seperti sejarah harga, termasuk harga pembukaan, tertinggi, terendah, dan penutupan. Ada juga indikator yang mengambil kira jumlah dagangan atau data pasaran lain. Hasilnya boleh dipaparkan terus pada carta harga, atau di ruangan berasingan di bahagian bawah.

Bukan sekadar memaparkan pergerakan harga, indikator memproses maklumat ini untuk menonjolkan ciri pasaran tertentu. Bergantung pada indikator yang digunakan, ia mungkin termasuk:

  • Arah trend
  • Momentum di sebalik pergerakan harga
  • Perubahan dalam volatiliti pasaran
  • Hubungan antara harga semasa dan harga terdahulu

Ini dapat membantu pedagang menganalisis maklumat yang mungkin sukar dikenal pasti dengan sekadar melihat pergerakan harga.

Ingat, indikator tidak menentukan arah pergerakan pasaran. Ia hanyalah alat analisis yang membantu anda mentafsir data pasaran, bukan meramal harga masa hadapan.

Mengapa indikator teknikal berkesan?

Setiap indikator teknikal berpaksikan formula matematik tertentu.

Formula tersebut memproses data pasaran (lazimnya data harga bagi tempoh tertentu) dan memaparkannya dalam bentuk nilai, garisan, jalur atau visual lain.

Sebagai contoh, sesetengah indikator mengira purata harga bagi tempoh tertentu. Ada pula yang membandingkan kenaikan dan penurunan harga terkini atau mengukur tahap volatiliti pasaran.

Apabila data pasaran baharu tersedia, indikator akan mengira semula dan mengemas kini nilainya secara automatik. Ini menunjukkan satu hubungan yang penting:

Data harga dijana dahulu, kemudian barulah indikator dikira berdasarkan data tersebut.

Oleh itu, indikator hanya memberi perspektif berbeza terhadap data pasaran sedia ada, dan tidak mencipta maklumat baharu. Anda perlu memahami prinsip ini terlebih dahulu sebelum mentafsir sebarang isyarat indikator.

Bagaimana pedagang menggunakan indikator teknikal?

Antara kelebihan utama indikator teknikal adalah kemampuannya menukar data pasaran kepada maklumat yang boleh diukur dan ditafsir secara konsisten.

Tanpa indikator, kita hanya mampu mengagak sama ada trend semakin lemah atau volatiliti pasaran semakin tinggi. Dengan adanya indikator, pemerhatian ini dapat diukur secara objektif, sekali gus memberi anda satu lagi titik rujukan.

Bergantung pada alat yang digunakan, indikator boleh membantu anda:

  • Mengenal pasti arah serta kekuatan sesuatu trend
  • Mengukur momentum harga
  • Memantau perubahan volatiliti
  • Mengenal pasti keadaan pasaran yang luar biasa
  • Menyokong dan mengesahkan analisis teknikal lain

Secara tidak langsung, indikator membantu menjadikan analisis carta anda jauh lebih kemas dan berstruktur.

Namun begitu, indikator bukanlah pengganti kepada carta harga. Corak candlestick, trend, sokongan dan rintangan, serta struktur pasaran yang lebih menyeluruh kekal sebagai sumber maklumat utama anda.

Penggunaan indikator jauh lebih berkesan apabila ia membantu anda menjawab persoalan analisis yang khusus.

Jenis-jenis utama indikator teknikal

Terdapat begitu banyak indikator teknikal, jadi lebih mudah untuk memahaminya jika ia dikelaskan berdasarkan fungsi.

Antara tiga kategori yang paling lazim digunakan ialah indikator trend, momentum, dan volatiliti.

Satu lagi kategori ialah indikator volum, namun ia perlu dinilai dengan lebih berhati-hati dalam pasaran tidak berpusat seperti forex.

Indikator trend

Indikator ini membantu anda menilai arah umum pergerakan harga, dan seterusnya menentukan sama ada pasaran berada dalam trend menaik, menurun, atau bergerak tanpa arah yang jelas.

Contohnya termasuklah:

Kedua-duanya memproses data harga terdahulu dengan cara yang berbeza, namun masing-masing mampu memberikan petunjuk tentang hala tuju pasaran.

Indikator momentum

Indikator ini mengukur kadar atau kekuatan pergerakan harga. Bukan sekadar melihat arah pergerakan, analisis momentum menilai tahap kekuatan pergerakan tersebut.

Indeks Kekuatan Relatif (RSI) merupakan salah satu indikator momentum yang paling popular. Ia membandingkan kenaikan dan penurunan harga terkini untuk memberikan gambaran jelas tentang kekuatan pergerakan harga tersebut.

Sesetengah indikator momentum juga dikenali sebagai oscillator kerana pergerakan nilainya berubah, atau berayun, dalam lingkungan julat tertentu.

Indikator volatiliti

Indikator ini mengukur pergerakan harga dalam tempoh tertentu dengan memerhati sama ada julat volatiliti semakin membesar atau mengecil, dan bukannya menunjukkan sama ada pasaran berada dalam trend menaik atau menurun.

Bollinger Bands adalah satu contoh indikator volatiliti yang cukup popular dalam kalangan pedagang. Jalur ini bertindak balas terhadap perubahan volatiliti dengan melebar atau mengecil, sejajar dengan perubahan pasaran.

Indikator volum

Indikator ini menilai tahap aktiviti dagangan di sebalik pergerakan pasaran.

Bagi pasaran yang didagangkan di bursa, data volum bertindak sebagai petunjuk untuk mengukur tahap keaktifan sesuatu instrumen.

Namun, senarionya sedikit berbeza bagi pasaran Forex. Oleh sebab ia merupakan pasaran yang tidak berpusat, tiada satu bursa khusus yang merekodkan jumlah volum dagangan global bagi instrumen ini. Sebaliknya, platform dagangan mungkin memaparkan volum tick, yang mengukur kekerapan perubahan harga dalam tempoh tertentu, dan bukannya jumlah sebenar yang didagangkan.

Oleh itu, data volum dalam Forex tidak boleh ditafsir melalui cara yang sama seperti data volum pasaran berpusat.

Bagaimana Fibonacci retracement digunakan?

Fibonacci retracement ialah alat lukisan yang digunakan untuk mengenal pasti potensi paras anjakan antara titik harga pilihan. Alat ini menggunakan nisbah Fibonacci untuk membahagikan pergerakan harga kepada beberapa paras bagi membantu pedagang menganalisis potensi zon sokongan atau rintangan.

Walaupun alat ini sering kali dikaitkan bersama indikator teknikal, fungsinya berbeza sama sekali.

Berbanding indikator seperti RSI atau purata pergerakan, alat ini tidak mengira nilai secara berterusan berdasarkan data pasaran terkini. Sebaliknya, ia digunakan secara manual dan menilai pergerakan antara titik harga pilihan bagi menyediakan konteks tambahan kepada struktur carta harga.

Indikator awalan dan susulan

Ada kalanya, indikator teknikal juga dikelaskan sebagai indikator awalan atau susulan, bergantung pada cara isyaratnya bertindak balas terhadap pergerakan harga.

Indikator susulan (lagging)

Indikator ini lazimnya digunakan untuk mengesahkan arah pergerakan atau trend pasaran apabila harga sudah mula bergerak.

Alat yang mengikut trend seperti purata pergerakan lazimnya dikelaskan sedemikian kerana pengiraannya bergantung pada data harga terdahulu.

Ia tidak semestinya digunakan untuk menganalisis pergerakan pasaran seawal mungkin. Sebaliknya, indikator ini membantu menilai sama ada arah pergerakan yang terbentuk mula mengukuh.

Indikator awalan (leading)

Sebaliknya, indikator awalan digunakan untuk mengesan perubahan pasaran, sebelum trend baharu terbentuk dengan kukuh.

Ada kalanya, osilator momentum dikelaskan dalam kategori ini kerana perubahan momentum boleh berlaku sebelum arah harga berubah dengan ketara.

Walau bagaimanapun, istilah “awalan” yang digunakan tidak seharusnya ditafsirkan bahawa sesuatu indikator boleh meramalkan hala tuju seterusnya dengan tepat. Isyarat awal boleh mengelirukan, terutamanya apabila keadaan pasaran berubah.

Kedua-dua jenis indikator ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing, dan tiada satu pun yang lebih baik berbanding yang lain.

Cara memilih indikator teknikal

Kepelbagaian indikator di pasaran mungkin membuatkan proses pemilihan alat kelihatan rumit. Pendekatan awal yang lebih praktikal bukanlah bertanya “Indikator mana satu yang terbaik?”, sebaliknya:

Apakah maklumat yang cuba disampaikan melalui analisis ini?

Sebagai contoh:

Soalan analisis

Kategori indikator

Contoh

Ke arah manakah pasaran sedang bergerak?

Trend

Purata Pergerakan

Sejauh manakah kekuatan momentum harga terkini?

Momentum

RSI

Bagaimanakah arah trend atau momentum berubah?

Trend / Momentum

MACD

Adakah volatiliti pasaran semakin meningkat atau menurun?

Volatiliti

Bollinger Bands

Pendekatan berpaksikan tujuan ini membantu mengelakkan indikator daripada ditambah pada carta semata-mata berdasarkan popularitinya.

Tiada indikator yang boleh diguna pakai untuk setiap keadaan pasaran, kerangka masa, mahupun gaya dagangan.

Wajarkah pedagang menggunakan lebih daripada satu indikator?

Walaupun indikator teknikal boleh digabungkan, penggunaan lebih banyak indikator tidak semestinya memberikan gambaran yang lebih jelas.

Kebanyakan indikator menggunakan data pasaran yang sama, jadi maklumat yang dipaparkan saling bertindih. Sebagai contoh, menggunakan beberapa indikator trend secara serentak pada carta mungkin membuatkan analisis yang dihasilkan kelihatan lebih menyeluruh, tetapi ia tidak semestinya memberi perspektif yang baharu.

Penggunaan indikator yang berlebihan juga boleh membuatkan carta sukar dibaca, lebih-lebih lagi apabila menghasilkan isyarat yang saling bercanggah.

Oleh itu, jika pedagang memilih untuk menggunakan lebih daripada satu indikator, fokus utama perlulah tertumpu ke arah memahami fungsi khusus setiap alat, bukannya sekadar memenuhkan carta dengan pelbagai paparan.

Batasan indikator teknikal

Selain mempelajari cara penggunaannya, pedagang juga perlu memahami batasan setiap indikator.

Indikator bergantung pada data terdahulu

Pengiraan indikator adalah berpandukan data harga terdahulu. Oleh itu, sesetengah indikator mengesan perubahan yang berlaku dalam pasaran lebih lambat berbanding pergerakan harga. Indikator yang lebih sensitif akan bertindak balas lebih awal, namun cenderung memberi isyarat palsu yang tidak boleh dimanfaatkan dalam dagangan.

Tiada indikator yang boleh digunakan dalam setiap keadaan pasaran

Indikator yang menyediakan analisis yang bernilai sewaktu trend harga yang kukuh mungkin tidak lagi berkesan apabila pasaran mula mendatar. Begitu juga dengan indikator momentum—bacaannya boleh tersasar jika trend berpanjangan. Oleh itu, konteks pasaran patut diutamakan.

Indikator boleh menghasilkan isyarat yang bercanggah

Indikator yang berbeza mengukur pelbagai aspek pasaran yang berlainan dan mungkin tidak sentiasa memberikan gambaran yang sama. Ini tidak bermakna indikator yang salah digunakan. Sebaliknya, ia sekadar mencerminkan perspektif yang berbeza dalam pasaran yang sama.

Indikator tidak menghapuskan risiko

Tiada pengiraan atau alat teknikal yang dapat menentukan pergerakan pasaran pada masa hadapan dengan tepat. Data ekonomi luar jangkaan, perkembangan geopolitik, perubahan sentimen dan pelbagai faktor lain boleh mempengaruhi harga, yang mungkin berbeza daripada maklumat yang dipaparkan oleh sesuatu indikator. Oleh itu, analisis indikator seharusnya menjadi sebahagian daripada pendekatan dagangan dan pengurusan risiko secara menyeluruh.

Kesilapan lazim yang perlu dielakkan

Menganggap isyarat indikator sebagai ramalan

Isyarat tidak menjamin harga bergerak ke arah yang dijangkakan. Indikator sekadar memberi data tambahan untuk dipertimbangkan bersama faktor pasaran yang lain.

Menggunakan terlalu banyak indikator

Carta yang sarat dengan indikator tidak memudahkan, sebaliknya merumitkan proses analisis. Setiap alat hendaklah mempunyai peranan yang jelas dan menyediakan input yang benar-benar relevan dalam analisis pasaran.

Mengabaikan pergerakan harga

Walaupun kebanyakan indikator dikira berpandukan data harga, pedagang tidak patut meletakkan sepenuh perhatian kepadanya sehingga mengabaikan carta dan terlepas konteks pasaran yang penting. Indikator direka untuk menyokong analisis teknikal, bukan menggantikannya.

Kerap menukar tetapan

Tetapan indikator mempengaruhi cara ia bertindak balas terhadap data pasaran. Mengubah parameter semata-mata untuk memadankan indikator dengan pergerakan harga terdahulu mungkin menampakkan hasil yang menguntungkan pada carta lepas, tetapi tidak semestinya memberikan keputusan yang sama dalam keadaan pasaran berbeza. Menguji idea dagangan menggunakan data terdahulu boleh membantu pedagang menilai sama ada sesuatu pendekatan analisis berfungsi secara konsisten ataupun tidak.

Kesimpulan

Mempelajari indikator teknikal bukan sekadar mencari alat yang memberi isyarat "tepat", sebaliknya memahami apa yang mampu dan tidak mampu dijelaskan oleh sesuatu alat mengenai tingkah laku pasaran.

Setiap indikator, seperti purata pergerakan, RSI, MACD dan Bollinger Bands, memproses maklumat pasaran secara berbeza. Memahami fungsi setiap alat memudahkan pedagang menentukan bila ia boleh membantu memberi konteks pasaran berguna dan bila ia hanya mengulangi maklumat yang sudah dipaparkan pada carta.

Pelajaran seterusnya akan membincangkan setiap alat ini secara individu, serta menunjukkan bagaimana pengiraannya ditafsir sebagai maklumat yang pedagang boleh manfaatkan dalam pendekatan analisis teknikal yang lebih menyeluruh.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro