Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 2

Memahami Purata Pergerakan (Moving Average)

12/11/26
9 min

Perkara utama:

Pengenalan

Indikator teknikal memproses data pasaran untuk membantu pengguna memahami corak dan ciri tertentu dalam pergerakan harga. Antara indikator teknikal yang paling ringkas dan digunakan secara meluas ialah Purata Pergerakan (Moving Average atau MA).

Harga boleh mengalami turun naik yang ketara dari satu tempoh ke tempoh yang lain, sekali gus menyukarkan pedagang mengenal pasti arah pasaran secara keseluruhan. Purata bergerak membantu mengurangkan kesan turun naik jangka pendek ini dengan mengira harga purata bagi bilangan tempoh tertentu, kemudian memaparkannya sebagai garisan pada carta.

Kaedah ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang trend asas pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa batasan penting yang perlu difahami apabila menggunakan purata pergerakan.

Dalam pelajaran ini, kita akan mempelajari cara purata pergerakan berfungsi, perbezaan antara dua jenis yang biasa digunakan, iaitu Purata Pergerakan Mudah (Simple Moving Average atau SMA) dan Purata Pergerakan Eksponen (Exponential Moving Average atau EMA), serta cara mentafsir kedua-duanya sebagai sebahagian daripada analisis teknikal.

Apa itu purata pergerakan?

Purata bergerak (MA) ialah indikator teknikal yang mengira harga purata sesuatu aset berdasarkan bilangan tempoh yang ditetapkan.

Sebagai contoh, katakan purata pergerakan dengan 5 tempoh digunakan pada carta. Indikator ini akan mengira purata harga berdasarkan lima tempoh terkini. Apabila satu tempoh baharu selesai, data daripada tempoh paling lama akan dikeluarkan daripada pengiraan dan digantikan dengan data terkini. Proses ini berulang secara automatik, lalu membentuk satu garisan yang bergerak mengikut perubahan pada carta harga. Oleh itu, nilai purata sentiasa dikemas kini, atau "bergerak", apabila data pasaran baharu tersedia.

MA lazimnya dikira menggunakan harga penutupan. Namun, sesetengah platform dagangan membolehkan pengguna memilih jenis data harga yang lain.

Tempoh purata pergerakan

Salah satu tetapan paling penting bagi MA ialah tempohnya, kerana tetapan ini menentukan bilangan tempoh yang diambil kira dalam pengiraan.

Sebagai contoh, MA dengan 20 tempoh mengira purata berdasarkan 20 candlestick terkini. Perkara penting yang perlu difahami ialah 20 tempoh tidak semestinya mewakili 20 hari. Tempoh sebenar bergantung pada jangka masa carta:

  • Jika menggunakan carta 1 minit, MA 20 tempoh akan mengira purata berdasarkan 20 candlestick terkini, dengan setiap candlestick mewakili satu minit
  • Jika menggunakan carta 1 jam, MA 20 tempoh akan mengira purata berdasarkan 20 candlestick terkini, dengan setiap candlestick mewakili satu jam
  • Jika menggunakan carta harian, MA 20 tempoh akan mengira purata berdasarkan 20 candlestick terkini, dengan setiap candlestick mewakili satu hari

Oleh itu, tetapan yang sama boleh mewakili tempoh aktiviti pasaran yang sangat berbeza, bergantung pada jangka masa carta yang dipilih.

Tempoh purata pergerakan lebih pendek

  • Bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan harga terkini
  • Turun naik harga jangka pendek boleh memberi pengaruh yang lebih besar terhadap indikator ini

Tempoh purata pergerakan lebih panjang

  • Berubah secara beransur-ansur, menghasilkan gambaran pergerakan harga yang lebih lancar
  • Membantu mengenal pasti trend jangka panjang dengan lebih mudah
  • Bertindak balas dengan lebih perlahan apabila keadaan pasaran berubah

Kedua-dua pendekatan ini tidak semestinya lebih baik daripada satu sama lain. Pemilihan tempoh yang sesuai bergantung pada jenis pergerakan harga yang ingin dianalisis. Untuk mendapatkan gambaran pasaran yang lebih menyeluruh, anda boleh memerhatikan gabungan MA jangka pendek dan jangka panjang secara serentak.

SMA vs EMA

Terdapat pelbagai jenis purata pergerakN, namun dua jenis yang paling kerap digunakan ialah Purata Pergerakan Mudah (SMA) dan Purata Pergerakan Eksponen (EMA).

Walaupun kedua-duanya membantu melancarkan turun naik harga, setiap jenis memberikan tahap keutamaan yang berbeza kepada harga terkini dalam pengiraan.

Apa itu SMA?

Purata Pergerakan Mudah (Simple Moving Average atau SMA) mengira min aritmetik harga bagi bilangan tempoh yang ditetapkan.

Katakan kita menggunakan SMA 5 tempoh berdasarkan harga penutupan. Caranya mudah: jumlahkan harga penutupan bagi lima candlestick terkini, kemudian bahagikan jumlah tersebut dengan lima.

Dalam pengiraan SMA, setiap harga diambil kira secara sama rata. Kaedah ini menghasilkan garisan yang biasanya lebih lancar, tetapi SMA mungkin mengambil masa lebih lama untuk bertindak balas terhadap perubahan harga terkini.

Apa itu EMA?

Purata Pergerakan Eksponen (Exponential Moving Average atau EMA) juga menggunakan data harga terdahulu, tetapi lebih mengutamakan data harga terkini dalam pengiraan.

Ini menjadikan EMA lebih responsif terhadap perubahan harga. Oleh sebab itu, EMA biasanya menjejaki pergerakan harga semasa dengan lebih rapat berbanding SMA yang menggunakan tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, kepekaan EMA yang lebih tinggi juga bermakna indikator ini mungkin bertindak balas dengan lebih ketara terhadap turun naik harga jangka pendek.

SMA vs EMA

Purata Pergerakan Mudah (SMA)

Purata Pergerakan Eksponen (EMA)

Setiap harga diambil kira secara sama rata

Lebih mengutamakan harga terkini dalam pengiraan

Lazimnya lebih lancar

Lazimnya lebih responsif

Bertindak balas lebih perlahan terhadap perubahan harga

Bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan harga

Kurang dipengaruhi oleh turun naik jangka pendek

Lebih sensitif terhadap turun naik harga jangka pendek

Kedua-duanya tidak semestinya lebih tepat atau berkesan dalam semua keadaan. Perbezaan utamanya terletak pada keseimbangan antara kelancaran garisan dengan kepantasan tindak balas terhadap perubahan harga.

Cara mentafsir purata pergerakan

MA boleh membantu memberikan gambaran tentang arah dan corak pergerakan harga. Daripada menganggap garisan MA sebagai isyarat tersendiri, pedagang boleh meneliti bagaimana garisan tersebut berkait dengan pergerakan pasaran.

Arah dan kecerunan

Arah garisan purata pergerakan boleh memberikan petunjuk visual yang mudah tentang trend pasaran secara keseluruhan.

Garisan MA yang cenderung menaik lazimnya menandakan trend menaik. Sebaliknya, garisan yang menurun mungkin menandakan trend menurun, manakala garisan yang hampir mendatar boleh menunjukkan bahawa pasaran tidak mempunyai trend yang jelas.

Walau bagaimanapun, memandangkan MA mencerminkan pergerakan harga terdahulu, arahnya tidak menjamin bahawa trend tersebut akan berterusan.

Kedudukan harga berbanding MA

Jika harga terus berada di atas garisan MA yang menaik, ini boleh menjadi petunjuk tambahan bahawa pasaran sedang mengalami trend menaik. Begitu juga, harga yang terus berada di bawah garisan MA yang menurun mungkin menandakan trend menurun.

Jika harga berulang kali melintas di atas dan di bawah garisan MA, keadaan ini mungkin menunjukkan bahawa pasaran tidak mempunyai trend yang jelas.

Sokongan dan rintangan dinamik

Purata bergerak juga boleh berfungsi sebagai kawasan rujukan dinamik.

Contohnya, apabila pasaran berada dalam trend menaik, harga mungkin bergerak turun menghampiri garisan MA yang menaik sebelum kembali meningkat. Begitu juga, dalam trend menurun, harga mungkin bergerak naik menghampiri garisan MA yang menurun sebelum kembali menurun.

Atas sebab ini, MA kadangkala dianggap sebagai kawasan sokongan atau rintangan dinamik.

Berbeza daripada paras sokongan dan rintangan mendatar, garisan trend merentasi carta secara pepenjuru mengikut pergerakan pasaran.

Menggunakan beberapa MA dan persilangan (crossover)

Beberapa purata pergerakan dengan tempoh yang berbeza boleh dipaparkan pada carta yang sama.

MA yang menggunakan tempoh lebih pendek biasanya lebih cepat menunjukkan perubahan harga. Sebaliknya, MA dengan tempoh lebih panjang memberikan gambaran yang lebih lancar tentang pergerakan pasaran secara keseluruhan. Dengan melihat kedua-duanya, pedagang boleh membandingkan pergerakan harga terkini dengan trend jangka panjang.

Apabila dua garisan MA bersilang, keadaan ini dikenali sebagai persilangan purata pergerakan.

Apabila garisan MA jangka pendek bergerak melintasi garisan MA jangka panjang ke atas, ini bermakna harga terkini semakin mengukuh berbanding purata harga dalam tempoh yang lebih panjang. Sebaliknya, apabila garisan MA jangka pendek melintasi garisan MA jangka panjang ke bawah, harga terkini semakin melemah.

Hubungan ini kadangkala digunakan untuk mengenal pasti perubahan arah trend. Namun, persilangan hanya berlaku selepas harga mula bergerak kerana kedua-dua purata dikira berdasarkan data harga terdahulu.

Persilangan juga boleh berlaku secara berulang kali apabila pasaran bergerak mendatar. Oleh itu, anda boleh menggunakan isyarat ini untuk lebih memahami perubahan hubungan antara pergerakan harga jangka pendek dan jangka panjang, dan bukannya menganggapnya sebagai isyarat beli atau jual automatik.

Batasan purata pergerakan

Walaupun MA dapat memudahkan analisis trend, penting juga untuk memahami batasan indikator ini.

MA bertindak balas selepas harga bergerak

MA tergolong dalam kategori indikator yang mempunyai kelewatan tindak balas kerana pengiraannya berdasarkan harga terdahulu. Indikator ini bertindak balas terhadap perubahan yang telah berlaku dan bukannya meramalkan perubahan tersebut lebih awal.

Tahap kelewatan tindak balas lazimnya meningkat mengikut bilangan tempoh yang digunakan dalam pengiraan.

Kurang berguna dalam pasaran mendatar

MA lazimnya lebih mudah ditafsir apabila terdapat trend yang jelas. Apabila pasaran bergerak mendatar, harga mungkin berulang kali melintasi garisan purata pergerakan ke atas dan ke bawah.

Beberapa garisan MA juga mungkin kerap bersilang tanpa membentuk trend yang berterusan.

Tetapan mempengaruhi hasil yang diperoleh

Tempoh dan jenis MA yang berbeza akan mempengaruhi tindak balas indikator terhadap perubahan harga. Oleh itu, EMA jangka pendek dan SMA jangka panjang boleh menunjukkan gambaran yang berbeza bagi pasaran yang sama. Kedua-duanya tidak semestinya salah, sebaliknya menggunakan kaedah yang berbeza untuk memproses data harga terdahulu.

Kesilapan lazim yang perlu dielakkan

Mencari tetapan yang "terbaik"

Tiada satu jenis atau tempoh MA yang paling sesuai untuk semua pasaran atau jangka masa carta. Memahami fungsi sesuatu tetapan lebih penting daripada mencari gabungan tetapan yang dianggap paling ideal untuk semua keadaan. Selain itu, tetapan yang berkesan pada masa lalu tidak semestinya memberikan hasil yang sama apabila keadaan pasaran berubah.

Menganggap persilangan sebagai ramalan

Persilangan tidak semestinya menandakan bahawa trend baharu telah bermula. Hal ini amat penting dalam keadaan pasaran mendatar kerana persilangan mungkin berlaku dengan kerap. Purata bergerak lebih sesuai digunakan untuk memahami keadaan pasaran dan arahnya berbanding meramalkan hasil tertentu.

Mengabaikan jangka masa carta

MA dengan 20 tempoh boleh mewakili jangka masa yang berbeza, bergantung pada carta yang dianalisis. Oleh itu, penting untuk mengambil kira kedua-dua tempoh purata pergerakan dan jangka masa carta apabila mentafsir indikator ini.

Kerap menukar tetapan

Mengubah tempoh purata pergerakan berulang kali sehingga kelihatan selari dengan pergerakan harga terdahulu boleh memberikan gambaran yang tidak realistik tentang keberkesanan sesuatu tetapan. Menguji idea dagangan menggunakan data pasaran terdahulu dapat membantu menilai prestasi pelbagai tetapan dengan lebih sistematik.

Kesimpulan

Purata bergerak membantu menggambarkan trend pasaran dengan lebih jelas dengan melancarkan turun naik dalam data harga terdahulu. Namun, memahami perkara yang ditunjukkan oleh garisan tersebut lebih penting daripada mencari tetapan yang kononnya "sempurna".

Tempoh yang dipilih menentukan berapa banyak data harga terdahulu yang dimasukkan dalam pengiraan, manakala kaedah pengiraan mempengaruhi kelajuan MA bertindak balas terhadap maklumat terkini. Walaupun perbezaan ini boleh memberikan perspektif yang berbeza tentang arah pasaran, MA kekal sebagai indikator yang bertindak balas terhadap perubahan yang telah berlaku, bukannya meramalkan pergerakan harga pada masa hadapan.

Dalam pelajaran seterusnya, kita akan meneroka indikator teknikal lain yang meneliti aspek pergerakan pasaran yang berbeza. Salah satunya ialah, Indeks Kekuatan Relatif (RSI) yang memberi tumpuan kepada pengukuran momentum dan bukannya melancarkan turun naik harga. Ini memberikan satu lagi perspektif untuk memahami pergerakan pasaran.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro