Pengenalan
Penunjuk teknikal boleh mendedahkan ciri tingkah laku pasaran yang berbeza. Sebagai contoh, purata bergerak menapis volatiliti harga untuk memudahkan anda mengenal pasti trend yang lebih luas. Sementara itu, Indeks Kekuatan Relatif (RSI) pula memberi tumpuan kepada aspek berbeza: momentum.
Momentum menunjukkan kekuatan pergerakan harga terkini. RSI mengukurnya dengan membandingkan purata kenaikan dan penurunan harga, kemudian memberikan bacaan menggunakan skala 0 hingga 100.
Ini dapat membantu pedagang menilai perubahan momentum belian dan jualan, tetapi mereka perlu memahami konteks di sebalik bacaan RSI, bukan sekadar bergantung pada nilainya.
Dalam pelajaran ini, kita akan meneroka cara RSI berfungsi, cara mentafsir skalanya, maksud terlebih beli dan terlebih jual, serta bagaimana konteks pasaran mempengaruhi bacaan penunjuk teknikal ini.
Apa itu RSI?
Indeks Kekuatan Relatif (RSI) ialah sejenis oscillator momentum yang dicipta oleh penganalisis teknikal J. Welles Wilder.
Oscillator ialah penunjuk yang bergerak dalam julat tertentu. RSI turun naik antara 0 dan 100, dengan membandingkan kekuatan kenaikan dan penurunan harga terkini.
Secara ringkasnya:
- RSI yang lebih tinggi mencerminkan momentum kenaikan terkini yang lebih kukuh
- RSI yang lebih rendah mencerminkan momentum menurun terkini yang lebih kukuh
- Bacaan RSI yang berada sekitar pertengahan julat menunjukkan momentum kenaikan dan penurunan lebih seimbang
Berbeza daripada purata bergerak, RSI lazimnya dipaparkan dalam panel berasingan di bawah carta harga dan tidak bertindih dengan pergerakan harga.
Bagaimana RSI berfungsi
RSI dikira dengan membandingkan purata keuntungan dan kerugian dalam tempoh yang ditetapkan.
Pengiraan standard lazimnya menggunakan 14 tempoh masa. Sebagai contoh, bagi carta harian, penunjuk tersebut akan menggunakan data daripada 14 candlestick harian. Bagi carta 1 jam pula, ia menggunakan 14 candlestick 1 jam.
Pengiraan tersebut kemudian menunjukkan hubungan antara keuntungan dan kerugian terkini melalui bacaan antara 0 dan 100.
Formula RSI:
RSI = 100 − [100 ÷ (1 + RS)]
Di sini, RS (Kekuatan Relatif) mewakili nisbah antara purata keuntungan dan kerugian sepanjang tempoh yang dipilih, dan pengiraannya adalah seperti berikut:
RS = Purata keuntungan / Purata kerugian
- Purata keuntungan: Jumlah keuntungan dalam tempoh tertentu
- Purata kerugian: Jumlah kerugian dalam tempoh masa tertentu
Pedagang lazimnya tidak perlu mengira RSI secara manual kerana platform dagangan mengira dan mengemas kini nilainya secara automatik. Oleh itu, apa yang lebih penting adalah memahami prinsip di sebalik pengiraannya: RSI membandingkan kekuatan pergerakan harga menaik dan menurun terkini untuk mengukur momentum.
Memahami skala RSI
Tiga paras rujukan lazim yang digunakan semasa mentafsir RSI: 70, 50 dan 30.
- Bacaan RSI melebihi 70 lazimnya dirujuk sebagai terlebih beli. Ini menunjukkan bahawa pergerakan harga menaik lebih kukuh berbanding pergerakan menurun sepanjang tempoh tersebut.
- Bacaan di bawah 30 lazimnya dirujuk sebagai terlebih jual. Ini menunjukkan bahawa pergerakan harga menurun lebih kukuh berbanding pergerakan menaik sepanjang tempoh tersebut.
- Paras 50 merupakan titik pertengahan dalam julat RSI. Bacaan melebihi 50 lazimnya menunjukkan momentum menaik yang lebih kukuh, manakala bacaan di bawah 50 menunjukkan momentum menurun yang lebih kukuh.
Paras-paras ini berfungsi sebagai titik rujukan yang berguna, tetapi tafsirannya bergantung pada konteks pasaran yang lebih meluas.
Mengapa bacaan 70 dan 30 bukan isyarat pembalikan
Antara salah tanggapan paling umum tentang RSI ialah bacaan terlebih beli atau terlebih jual boleh meramalkan pembalikan serta-merta:
RSI melebihi 70 = potensi jualan
RSI di bawah 30 = potensi belian
Walau bagaimanapun, RSI hanya mengukur momentum dan bukan penentu arah pergerakan harga seterusnya.
Semasa trend menaik kukuh, momentum belian yang berterusan boleh mengekalkan bacaan RSI melebihi paras 70 bagi tempoh yang lebih panjang apabila harga terus meningkat. Begitu juga, momentum jualan yang berterusan boleh mengekalkan bacaan RSI di bawah paras 30 apabila trend menurun dengan kukuh.
Oleh itu, bacaan terlebih beli tidak semestinya menandakan bahawa harga telah melonjak terlalu tinggi atau bakal susut. Begitu juga, bacaan terlebih jual tidak memberi jaminan bahawa harga akan memulih.
Paras 70 dan 30 lebih sesuai ditafsirkan sebagai gambaran momentum yang kukuh, bukannya arahan automatik untuk membuka atau menutup dagangan.
RSI dalam pasaran beraliran dan berjulat
Keadaan pasaran boleh mempengaruhi pergerakan RSI serta cara bacaannya ditafsirkan.
RSI dalam pasaran beraliran
Dalam aliran trend yang kukuh, bacaan RSI boleh kekal berlegar dalam satu zon untuk tempoh yang lama.
Dalam trend menaik, momentum belian yang berterusan boleh mengekalkan RSI pada paras yang agak tinggi. Dalam trend menurun, momentum jualan yang berterusan boleh mengekalkannya pada paras yang agak rendah.
Oleh itu, pedagang boleh meneliti RSI di samping carta harga sebenar dan alat analisis seperti purata pergerakan, garisan trend, serta sokongan dan rintangan untuk mengenal pasti pergerakan trend yang lebih meluas.
RSI dalam pasaran berjulat
Apabila harga bergerak mendatar antara paras sokongan dan rintangan dengan ketara, momentum cenderung untuk beralih dengan lebih kerap antara pembeli dengan penjual.
Oleh itu, RSI mungkin berayun dengan lebih kerap antara bacaan tinggi dan rendah, menjadikan paras terlebih beli dan terlebih jual berpotensi untuk dimanfaatkan bagi mengesan anjakan momentum.
Walau bagaimanapun, keadaan pasaran berjulat tidak akan kekal selamanya. Penembusan boleh mencetuskan trend baharu; oleh itu, struktur harga yang lebih luas amat penting dalam mentafsir RSI.
Apa itu divergence RSI?
Pedagang juga boleh membandingkan pergerakan RSI dengan harga aset itu sendiri. Apabila kedua-duanya mula bergerak di arah bertentangan, keadaan ini dikenali sebagai capahan (divergence).
Divergence boleh menandakan bahawa momentum yang mendasari pergerakan harga semasa sedang melemah.
Divergence bullish (menaik)
- Isyarat ini dikesan apabila harga mencatatkan paras rendah yang lebih rendah, manakala RSI membentuk paras rendah yang lebih tinggi.
- Harga terus menurun, tetapi RSI menunjukkan bahawa momentum menurun telah melemah berbanding penurunan sebelumnya
- Isyarat ini mungkin menunjukkan bahawa momentum jualan semakin lemah, tetapi ia tidak mengesahkan bahawa harga akan berbalik ke arah menaik
Divergence bearish (menurun)
- Isyarat ini dikesan apabila harga mencatatkan paras tertinggi yang lebih tinggi, manakala RSI membentuk paras tinggi yang lebih rendah
- Walau bagaimanapun harga terus meningkat, paras tinggi RSI yang lebih rendah memberi petunjuk bahawa momentum belian telah melemah berbanding kenaikan sebelumnya
- Sekali lagi, isyarat ini mungkin memberi petunjuk tentang anjakan momentum, namun ia tidak menjamin bahawa aliran trend menaik akan berakhir
Oleh itu, divergence lebih wajar dianggap sebagai konteks tambahan dan bukannya isyarat pembalikan, memandangkan ia memerlukan pengesahan harga untuk berfungsi sebagai isyarat dagangan yang sah.
Memahami tempoh RSI
Seperti purata pergerakan, RSI boleh dikira menggunakan tetapan tempoh yang berbeza.
RSI 14 ialah tetapan piawai yang paling kerap digunakan.
- Tempoh yang lebih pendek menjadikan indikator lebih responsif terhadap perubahan harga terkini, namun ia turut menghasilkan ayunan isyarat yang lebih kerap
- Tempoh yang lebih panjang menghasilkan bacaan RSI yang lebih stabil serta bertindak balas dengan lebih perlahan
Tiada satu tempoh yang boleh dianggap "terbaik" untuk semua keadaan. Perbezaan tetapan hanya mempengaruhi tahap kepekaan indikator terhadap pergerakan harga terkini.
Sama seperti indikator teknikal yang lain, perbuatan mengubah tetapan secara kerap semata-mata untuk memadankan data dengan pergerakan pasaran terdahulu boleh memberi gambaran yang mengelirukan tentang keberkesanan sebenar konfigurasi tersebut.
Batasan RSI
RSI boleh memudahkan tafsiran momentum, tetapi ia tidak dapat meramalkan pergerakan harga masa hadapan.
Oleh sebab ia dikira menggunakan data harga terdahulu, indikator ini mencerminkan pergerakan lalu. Bacaan yang ekstrem boleh kekal berlanjutan, malah divergence boleh muncul tanpa disusuli sebarang pembalikan.
Tindak balas RSI juga berbeza-beza, bergantung pada tempoh, rangka masa, serta persekitaran pasaran secara menyeluruh. Oleh itu, indikator ini wajar diguna pakai sebagai pelengkap analisis, dan bukannya dinilai secara berasingan.
Kesilapan lazim apabila menggunakan RSI
Menilai RSI secara berasingan
RSI memberikan maklumat tentang momentum, tetapi ia bukanlah gambaran pasaran yang lengkap. Tindakan harga, arah trend, serta bacaan sokongan dan rintangan yang penting mampu memberikan konteks tambahan.
Menganggap bacaan ekstrem sebagai isyarat pembalikan arah
Mencapai paras 70 atau 30 tidak bermakna pergerakan harga semasa akan berakhir. Malah, momentum boleh terus mengukuh melepasi paras tersebut.
Menganggap kemunculan divergence sebagai isyarat pengesahan
Divergence mencerminkan pergerakan harga dan momentum yang tidak sehaluan. Walaupun ia menunjukkan potensi momentum yang melemah, corak ini tidak menjamin bahawa pembalikan arah akan berlaku.
Kerap mengubah tetapan
Perbuatan mengubah suai tempoh RSI agar menepati data pergerakan terdahulu hanya akan memberi gambaran prestasi palsu yang kelihatan meyakinkan, sedangkan ia tidak mencerminkan keupayaan sebenar indikator tersebut.
Pendekatan yang lebih berstruktur adalah dengan memahami rasional di sebalik sesuatu tetapan serta menilai idea dagangan dengan berpandukan data terdahulu. Proses ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam pelajaran Backtest Idea Dagangan.
Kesimpulan
RSI menyediakan cara yang teratur untuk menilai kekuatan momentum harga terkini, tetapi bacaannya akan menjadi lebih bermakna apabila dinilai dalam konteks pasaran yang lebih luas.
Memahami apa yang diukur oleh indikator jauh lebih penting berbanding bertindak balas secara mekanikal terhadap paras tertentu. Bacaan terlebih beli dan terlebih jual, divergence, serta anjakan momentum menawarkan petunjuk yang berharga, tetapi tiada satu pun dapat menentukan pergerakan harga masa hadapan secara tepat.
Walaupun RSI mengukur momentum dalam julat yang tetap, MACD menggunakan pendekatan berbeza dengan menilai hubungan antara purata bergerak. Pendekatan ini memberikan perspektif tambahan tentang anjakan momentum dan arah trend dalam pasaran.

