Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 4

Memahami indikator MACD

18/11/26
8 min

Perkara utama:

Pengenalan

MACD ialah indikator teknikal yang membantu pedagang menilai perubahan arah trend dan momentum pasaran.

Tidak seperti indikator garisan tunggal, MACD terdiri daripada beberapa komponen. Namun, semuanya berasaskan hubungan yang sama antara Purata Pergerakan (MA).

Dalam pelajaran ini, kita akan melihat cara MACD berfungsi dan bagaimana setiap komponennya boleh ditafsir. Kita juga akan meneliti maklumat yang boleh diperoleh daripada persilangan, perubahan histogram dan divergence tentang keadaan pasaran.

Apa itu MACD?

MACD ialah singkatan bagi Moving Average Convergence Divergence. Indikator ini diperkenalkan oleh Gerald Appel untuk membantu pedagang menganalisis arah trend dan momentum pasaran menggunakan Purata Pergerakan Eksponen (EMA).

Nama MACD merujuk kepada tiga konsep utama:

  • Purata Pergerakan (MA): Mengira purata harga sesuatu aset dalam tempoh tertentu
  • Convergence (Penumpuan): Berlaku apabila jarak antara MA jangka pendek dengan MA jangka panjang semakin mengecil
  • Divergence (Pencapahan): Berlaku apabila jarak antara MA semakin melebar

Perubahan jarak antara MA ini penting kerana ia dapat memberikan gambaran tentang perkembangan momentum harga.

Berbeza dengan RSI, MACD tidak terikat pada julat tertentu seperti 0 hingga 100. Nilainya boleh bergerak di atas atau di bawah garisan sifar, bergantung pada perubahan hubungan antara MA yang membentuknya.

Bagaimana MACD berfungsi?

MACD terbentuk daripada perbezaan antara dua Purata Pergerakan Eksponen (EMA): satu menggunakan tempoh lebih pendek dan satu lagi dengan tempoh lebih panjang.

Tetapan standard MACD ialah 12, 26 dan 9:

  • EMA 12 tempoh: MA jangka pendek
  • EMA 26 tempoh: MA jangka panjang
  • EMA 9 tempoh: Digunakan untuk mengira garisan isyarat

Nilai garisan MACD diperoleh dengan menolak EMA jangka panjang daripada EMA jangka pendek:

Garisan MACD = EMA 12 tempoh − EMA 26 tempoh

Semakin jauh EMA jangka pendek berada di atas EMA jangka panjang, semakin tinggi nilai MACD. Sebaliknya, apabila EMA jangka pendek berada di bawah EMA jangka panjang, nilai MACD menjadi negatif.

Komponen utama MACD

Paparan MACD lazimnya mempunyai tiga komponen utama. Garisan sifar turut dipaparkan sebagai titik rujukan ketika membaca indikator ini.

Untuk memahami maklumat yang ditunjukkan oleh MACD, kita perlu melihat bagaimana komponen-komponen ini saling berkait.

Garisan MACD

  • Menunjukkan perbezaan antara EMA jangka pendek dengan EMA jangka panjang
  • Apabila garisan MACD berada di atas paras sifar, EMA jangka pendek berada di atas EMA jangka panjang
  • Apabila garisan MACD berada di bawah paras sifar, EMA jangka pendek berada di bawah EMA jangka panjang
  • Pergerakan garisan ini mencerminkan perubahan hubungan antara kedua-dua EMA

Garisan isyarat

  • Garisan ini merupakan purata pergerakan bagi garisan MACD itu sendiri
  • Dengan tetapan standard MACD, garisan ini biasanya menggunakan EMA 9 tempoh
  • Pergerakannya biasanya berubah secara beransur-ansur
  • Perbandingan antara kedua-dua garisan ini membantu pedagang melihat sama ada momentum terkini semakin menguat atau melemah berbanding dengan purata terkininya

Histogram

  • Memaparkan perbezaan antara garisan MACD dengan garisan isyarat
  • Saiz bar histogram berubah mengikut jarak antara kedua-dua garisan yang semakin melebar atau mengecil
  • Apabila kedua-dua garisan bersilang, nilai histogram menjadi sifar
  • Histogram menunjukkan perubahan hubungan antara kedua-dua garisan secara visual. Ia bukan pengiraan berasingan untuk menentukan arah pasaran

Apa itu garisan sifar?

Garisan sifar membantu pedagang memahami hubungan antara dua EMA yang digunakan dalam pengiraan MACD.

Kedudukan garisan MACD berbanding garisan sifar boleh memberikan petunjuk tentang arah pasaran:

  • Atas paras sifar: EMA jangka pendek berada di atas EMA jangka panjang. Keadaan ini mungkin menunjukkan pasaran sedang bergerak menaik
  • Bawah paras sifar: EMA jangka pendek berada di bawah EMA jangka panjang. Keadaan ini boleh ditafsirkan sebagai arah pasaran yang menurun

Persilangan garisan sifar berlaku apabila garisan MACD melintasi garisan sifar dari satu sisi ke sisi yang lain.

Oleh sebab MACD dikira menggunakan data harga terdahulu, perubahan pada indikator ini hanya dapat dilihat selepas harga bergerak. Justeru, persilangan garisan sifar lebih sesuai dianggap sebagai petunjuk perubahan arah trend, dan bukannya ramalan tentang pergerakan harga seterusnya.

Memahami persilangan MACD

Satu lagi keadaan yang sering diperhatikan berlaku ialah apabila garisan MACD bersilang dengan garisan isyarat.

  • Apabila garisan MACD naik melepasi garisan isyarat, momentum terkini menjadi lebih kuat berbanding purata pergerakan garisan MACD
  • Apabila garisan MACD jatuh ke bawah garisan isyarat, momentum terkini menjadi lebih lemah berbanding purata tersebut

Persilangan ini kadangkala dianggap sebagai isyarat dagangan. Namun, tidak semua persilangan bermakna masa untuk membeli atau menjual. Mengambil tindakan berdasarkan setiap persilangan tanpa mempertimbangkan keadaan pasaran boleh membawa kepada keputusan yang kurang tepat.

Dalam pasaran mendatar, kedua-dua garisan boleh bersilang berkali-kali tanpa menghasilkan trend yang berterusan. Oleh itu, walaupun persilangan tersebut memberikan petunjuk tentang perubahan momentum, arah pergerakan harga dan keadaan pasaran secara keseluruhan tetap perlu diambil kira.

Cara membaca histogram MACD

Histogram membantu memberikan gambaran visual yang lebih jelas tentang perubahan hubungan antara garisan MACD dengan garisan isyarat.

Apabila bar histogram semakin memanjang menjauhi paras sifar, jarak antara kedua-dua garisan turut bertambah. Ini menandakan hubungan momentum kedua-duanya semakin menguat ke arah tersebut.

Sebaliknya, apabila bar histogram semakin pendek dan menghampiri paras sifar, kedua-dua garisan semakin rapat. Keadaan ini menunjukkan bahawa perbezaan antara kedua-duanya semakin mengecil.

Apabila histogram mencapai paras sifar, garisan MACD dan garisan isyarat bersilang.

Namun, histogram yang semakin mengecil tidak semestinya bermakna harga akan berbalik arah. Perubahan ini hanya menunjukkan bahawa jarak antara garisan MACD dengan garisan isyarat semakin rapat, tetapi harga masih boleh meneruskan pergerakan dalam arah yang sama.

Oleh itu, histogram lebih sesuai digunakan untuk memahami bagaimana momentum berubah berbanding meramalkan dengan tepat bila sesuatu trend akan berakhir.

Apa itu divergence MACD?

Seperti RSI, MACD juga boleh dibandingkan dengan carta harga untuk mengenal pasti divergence.

Divergence berlaku apabila harga dan indikator mula bergerak dalam arah yang berbeza, yang mungkin menunjukkan perubahan momentum.

Divergence bullish (menaik)

Keadaan ini boleh berlaku apabila harga membentuk paras rendah yang lebih rendah, manakala MACD membentuk paras rendah yang lebih tinggi.

Walaupun harga masih menurun, pergerakan MACD menunjukkan bahawa momentum penurunan semakin lemah berbanding penurunan sebelumnya.

Divergence bearish (menurun)

Keadaan ini boleh berlaku apabila harga membentuk paras tinggi yang lebih tinggi, manakala MACD membentuk paras tinggi yang lebih rendah.

Walaupun harga masih bergerak menaik, MACD menunjukkan bahawa momentum kenaikan semakin lemah berbanding kenaikan sebelumnya.

Divergence tidak semestinya menandakan pembalikan trend akan berlaku. Trend yang kukuh masih boleh berterusan walaupun divergence muncul. Oleh itu, divergence seharusnya dianggap sebagai petunjuk bahawa momentum sedang berubah, bukannya memberi isyarat bahawa pembalikan trend akan berlaku.

MACD vs RSI

Kedua-duanya membantu menilai momentum, tetapi dengan cara yang berbeza.


MACD

RSI

Perkara yang diukur

Hubungan antara MA jangka pendek dan MA jangka panjang

Kekuatan pergerakan harga menaik dan menurun dalam tempoh terkini

Fokus utama

Arah trend dan perubahan momentum

Kekuatan momentum terkini

Julat

Tiada had atas atau bawah yang tetap

Skala tetap dari 0 hingga 100

Titik rujukan utama

Garisan sifar, persilangan antara garisan MACD dan garisan isyarat, serta histogram

Paras 70, 50 dan 30

Bentuk paparan

Garisan MACD, garisan isyarat dan histogram

Satu garisan oscillator

Kedua-dua indikator ini menganalisis data harga dengan cara tersendiri, sekali gus membantu pedagang memahami keadaan pasaran dari sudut yang berbeza.

Batasan MACD

Seperti indikator teknikal yang lain, MACD juga mempunyai batasan tertentu.

Oleh sebab MACD dibina daripada purata pergerakan, pengiraannya bergantung pada data harga terdahulu. Ini bermakna MACD hanya bertindak balas selepas pergerakan harga berlaku, menyebabkan persilangan mungkin muncul lewat berbanding perubahan pasaran.

Indikator ini juga lebih sukar ditafsir apabila pasaran bergerak secara mendatar atau dalam julat tertentu. Apabila pasaran tidak menunjukkan arah pergerakan yang jelas dan berterusan, garisan MACD dan garisan isyarat mungkin kerap bersilang, tetapi persilangan tersebut tidak semestinya membawa kepada pembentukan trend yang bermakna.

Divergence dan perubahan histogram turut boleh berlaku tanpa diikuti oleh pembalikan harga. Oleh itu, MACD memberikan gambaran tentang keadaan trend dan momentum, tetapi tidak menjamin pergerakan harga pada masa hadapan.

Kesilapan lazim apabila menggunakan MACD

Menganggap setiap persilangan sebagai isyarat dagangan

Apabila garisan MACD bersilang dengan garisan isyarat, ini menunjukkan bahawa hubungan antara kedua-duanya telah berubah. Namun, persilangan ini tidak semestinya menandakan permulaan trend yang baharu.

Mentafsir MACD tanpa melihat pergerakan harga

MACD dikira berdasarkan data harga, jadi indikator ini tidak sepatutnya menggantikan analisis carta harga itu sendiri. Arah trend, paras sokongan dan rintangan serta struktur pasaran secara keseluruhan membantu pedagang memahami pergerakan harga dengan lebih baik.

Mencari tetapan yang "terbaik"

Tetapan 12, 26 dan 9 ialah tetapan standard yang lazim digunakan, namun kesesuaian tetapan ini bergantung pada keadaan pasaran serta tempoh masa yang digunakan. Mengubah tetapan berulang kali mengikut pergerakan harga terdahulu juga boleh memberikan gambaran yang tidak realistik tentang tahap kebolehpercayaan prestasi sesuatu tetapan.

Kesimpulan

MACD memberikan gambaran tentang trend dan momentum melalui perubahan hubungan antara purata pergerakan. Dengan memahami fungsi garisan MACD, garisan isyarat, histogram dan garisan sifar, pedagang dapat memahami dengan lebih jelas maklumat yang dipaparkan oleh indikator ini, tanpa terlalu bergantung pada setiap persilangan yang berlaku.

Nilai indikator ini terletak pada keupayaannya memberikan perspektif tambahan tentang pergerakan harga, bukannya meramalkan pergerakan pasaran dengan pasti. Persilangan, perubahan histogram dan divergence boleh memberikan konteks yang berguna apabila ditafsir bersama carta harga secara keseluruhan.

MACD fokus kepada hubungan antara purata pergerakan, manakala Bollinger Bands pula meneliti satu lagi aspek penting pasaran, iaitu volatiliti. Dalam pelajaran seterusnya, kita akan melihat bagaimana perubahan lebar jalur ini dapat membantu pedagang memahami sama ada turun naik harga semakin meluas atau semakin mengecil.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro