Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 5

Cara Fibonacci retracement berfungsi

19/11/26
9 min

Perkara utama:

Pengenalan

Pasaran kewangan jarang bergerak dalam satu arah secara berterusan. Walaupun trend pasaran sudah jelas, harga masih boleh bergerak buat sementara waktu ke arah bertentangan. Pergerakan ini dikenali sebagai pullback (pembetulan) atau retracement (anjakan).

Fibonacci retracement menggunakan nisbah matematik untuk membantu pedagang mengukur sejauh mana harga membuat pembetulan dan membentuk paras rujukan mendatar pada carta harga.

Dalam pelajaran ini, kami akan membimbing anda memahami cara Fibonacci retracement berfungsi, cara melukis dan mentafsir parasnya, serta perkara yang perlu diberi perhatian apabila menggunakannya dalam pelbagai keadaan pasaran.

Apa itu Fibonacci retracement?

Fibonacci retracement ialah alat analisis teknikal yang membantu mengenal pasti kawasan yang berpotensi menjadi sokongan atau rintangan apabila harga mengalami pembetulan.

Kaedah ini berasaskan jujukan Fibonacci, iaitu siri nombor matematik yang setiap nombornya merupakan hasil tambah dua nombor sebelumnya:

0, 1, 1, 2, 3, 5, 8, 13, 21, 34, 55…

Apabila jujukan ini berkembang, nisbah antara nombor berturutan semakin menghampiri nilai seperti 0.618 dan 0.382. Nisbah ini kemudiannya dinyatakan dalam bentuk peratusan dan digunakan pada carta harga.

Dengan mengukur jarak antara titik tertinggi dan terendah yang ketara dalam pergerakan harga, Fibonacci retracement membahagikan pergerakan harga terdahulu kepada beberapa paras. Paras ini membantu pedagang menilai sejauh mana harga telah membuat pembetulan.

Pedagang menggunakan paras ini untuk menilai:

  • Kedalaman retracement: Sejauh mana harga telah bergerak kembali ke arah bertentangan berbanding pergerakan sebelumnya
  • Kawasan sokongan berpotensi: Kawasan yang mungkin menyaksikan pergerakan menurun menjadi perlahan semasa trend menaik
  • Kawasan rintangan berpotensi: Kawasan yang mungkin menyaksikan pergerakan menaik berdepan tekanan jualan semasa trend menurun

Memahami paras Fibonacci retracement

Paras Fibonacci retracement mewakili peratusan daripada pergerakan harga sebelumnya.

Paras yang paling lazim digunakan ialah:

Paras retracement

Tafsiran

23.6%

Retracement yang tidak begitu ketara

38.2%

Pembetulan sederhana dalam pergerakan asal

50.0%

Paras di tengah-tengah pergerakan

61.8%

Retracement yang lebih ketara dan berkait dengan nisbah keemasan

78.6%

Pembetulan harga yang besar sehingga hampir kembali ke titik permulaan pergerakan asal

Walaupun paras 50% bukan sebahagian daripada jujukan Fibonacci, paras ini biasanya turut disertakan dalam platform dagangan. Paras 61.8% pula dikenali sebagai nisbah keemasan, manakala paras 78.6% diperoleh melalui punca kuasa dua nisbah tersebut.

Bagaimanakah paras Fibonacci dikira?

Sebagai contoh, harga sesuatu aset naik daripada $100 kepada $200.

Jumlah kenaikan harga ialah:

$200 - $100 = $100

Jika harga mula turun dari $200, paras Fibonacci mengukur sejauh mana harga telah membuat retracement daripada kenaikan $100 sebelumnya.

Paras retracement

Paras harga sebenar

23.6%

$176.40

38.2%

$161.80

50.0%

$150.00

61.8%

$138.20

78.6%

$121.40

Sebagai contoh, jika harga turun daripada $200 kepada $161.80, ini bermakna harga telah membuat retracement sebanyak 38.2% daripada pergerakan menaik sebelumnya.

Platform dagangan mengira dan memaparkan paras ini secara automatik, jadi pedagang tidak perlu membuat pengiraan sendiri.

Cara melukis paras Fibonacci retracement

Untuk melukis paras Fibonacci retracement, pedagang perlu mengenal pasti dua titik ayunan harga yang penting pada carta, iaitu titik tertinggi (swing high) dan titik terendah (swing low). Kedua-dua titik ini menandakan permulaan dan pengakhiran sesuatu pergerakan harga, yang digunakan sebagai asas untuk mengira paras retracement.

Cara alat ini dilukis bergantung pada arah pergerakan pasaran, sama ada menaik atau menurun.

Trend menaik

Dalam keadaan ini, harga biasanya membentuk paras tertinggi yang semakin tinggi dan paras terendah yang semakin tinggi.

Untuk menggunakan alat ini:

  1. Kenal pasti swing low: Cari titik permulaan bagi pergerakan menaik yang ketara
  2. Kenal pasti swing high: Pilih titik tertinggi sebelum pembetulan harga berlaku
  3. Gunakan alat Fibonacci: Hubungkan swing low dengan swing high
  4. Perhatikan paras yang dipaparkan: Garisan mendatar akan muncul di bawah titik tertinggi, menunjukkan kawasan yang berpotensi menjadi sokongan semasa harga membuat pembetulan

Sebagai contoh, apabila pasangan mata wang naik daripada 1.1000 kepada 1.1200, paras Fibonacci boleh digunakan untuk mengukur sejauh mana harga turun selepas kenaikan tersebut.

Trend menurun

Dalam keadaan ini, harga secara keseluruhannya membentuk paras tertinggi yang semakin rendah dan paras terendah yang semakin rendah.

Prosesnya pula adalah sebaliknya:

  1. Kenal pasti swing high: Cari titik permulaan bagi pergerakan menurun
  2. Kenal pasti swing low: Pilih titik terendah sebelum pembetulan harga berlaku
  3. Gunakan alat Fibonacci: Hubungkan swing high dengan swing low
  4. Perhatikan paras yang dipaparkan: Garisan mendatar akan muncul di atas titik terendah, menunjukkan kawasan yang berpotensi menjadi rintangan semasa harga membuat pembetulan menaik

Ketepatan dan kesesuaian paras ini turut bergantung pada pemilihan titik swing. Dengan memilih pergerakan harga yang jelas, pedagang dapat membuat analisis yang lebih mudah difahami.

Cara mentafsir Fibonacci retracement

Setelah paras ini dipaparkan pada carta, pedagang memerhatikan tindak balas harga di sekitar paras tersebut untuk menilai perkembangan pembetulan harga.

Perbezaan antara retracement cetek dan retracement mendalam

Kedalaman retracement memberikan gambaran tentang sejauh mana harga telah bergerak kembali berbanding pergerakan asal.

Retracement

Paras

Konteks

Cetek

23.6% - 38.2%

Harga masih mengekalkan sebahagian besar pergerakan sebelumnya.

Sederhana

Sekitar 50%

Harga telah membuat retracement kira-kira separuh daripada pergerakan sebelumnya.

Mendalam

61.8% - 78.6%

Harga telah membuat retracement yang ketara daripada pergerakan sebelumnya.

Dalam trend menaik, pembetulan yang cetek mungkin menandakan bahawa kebanyakan pergerakan menaik sebelumnya masih kekal. Namun, retracement yang lebih mendalam mungkin menunjukkan tekanan jualan yang semakin meningkat. Dengan melihat struktur harga secara keseluruhan, pedagang dapat menilai sama ada pergerakan ini hanyalah pembetulan sementara atau berkemungkinan menandakan perubahan arah pasaran.

Namun begitu, kedalaman retracement sahaja tidak dapat menentukan sama ada trend akan berterusan atau berubah arah.

Tindak balas harga pada paras Fibonacci

Apabila harga menghampiri paras Fibonacci, terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku:

  1. Penolakan: Harga menghampiri sesuatu paras, kemudian bergerak menjauhinya
  2. Pengukuhan: Harga turun naik di sekitar paras tersebut tanpa menunjukkan arah pergerakan yang jelas
  3. Penembusan: Harga menembusi paras tersebut sebelum meneruskan pergerakan ke kawasan lain

Dengan memerhatikan tindak balas ini, pedagang dapat menilai sama ada sesuatu paras menarik minat pasaran. Oleh itu, paras Fibonacci biasanya dianggap sebagai kawasan rujukan dan bukannya paras harga yang tepat, memandangkan harga jarang berbalik arah pada nilai yang benar-benar tepat.

Menggabungkan Fibonacci dengan Sokongan dan Rintangan

Fibonacci retracement boleh menjadi lebih berguna apabila parasnya sejajar dengan kawasan sokongan dan rintangan yang sedia ada.

Pertindihan ini dikenali sebagai keselarasan (confluence), iaitu keadaan apabila beberapa kaedah analisis teknikal menunjukkan kawasan harga yang hampir sama.

Sebagai contoh, pedagang mungkin mengenal pasti kawasan sokongan terdahulu pada paras 1.1050 dan mendapati bahawa paras Fibonacci retracement 61.8% berada berhampiran kawasan tersebut.

Antara contoh keselarasan yang lain ialah:

  • Paras harga terdahulu: Paras retracement sejajar dengan swing high, swing low atau kawasan sokongan dan rintangan yang telah dikenal pasti sebelum ini
  • Purata pergerakan: Paras Fibonacci muncul berhampiran purata pergerakan yang sering diperhatikan oleh pedagang

Pertindihan ini boleh memberikan gambaran tambahan tentang pergerakan harga, namun tidak menjamin hasil tertentu.

Perbezaan antara Fibonacci retracement dan Fibonacci extension

Alat Fibonacci boleh digunakan untuk mengkaji pelbagai peringkat pergerakan pasaran. Fibonacci retracement memfokuskan pada pembetulan harga dalam julat sedia ada, manakala pedagang juga boleh menilai paras harga yang berpotensi dicapai apabila pasaran bergerak melepasi paras tertinggi atau terendah sebelumnya.

Di sinilah Fibonacci extension digunakan.

Kedua-dua alat ini menggunakan nisbah matematik yang diperoleh daripada jujukan Fibonacci, tetapi masing-masing mempunyai tujuan analisis yang berbeza.

Fibonacci retracement

Fibonacci extension

Mengukur sejauh mana harga telah membuat pembetulan daripada pergerakan sebelumnya.

Mengunjurkan paras harga yang berpotensi dicapai melepasi pergerakan asal.

Lazimnya menggunakan paras 38.2%, 50% dan 61.8%.

Lazimnya menggunakan paras 127.2% dan 161.8%.

Menunjukkan kawasan yang berpotensi menjadi sokongan dan rintangan semasa pembetulan harga.

Menunjukkan kawasan rujukan yang berpotensi sekiranya harga bergerak melepasi paras tertinggi atau terendah sebelumnya.

Sebagai contoh, jika harga sesuatu aset meningkat daripada $100 kepada $200 sebelum mengalami pembetulan, Fibonacci retracement membantu mengukur sejauh mana harga mungkin membuat pembetulan dalam julat tersebut.

Jika harga kembali bergerak menaik dan melepasi $200, Fibonacci extension boleh digunakan untuk mengunjurkan paras rujukan tambahan di atas paras tertinggi sebelumnya.

Secara ringkasnya, retracement mengukur sejauh mana harga membuat pembetulan, manakala extension mengunjurkan paras harga yang berpotensi dicapai melepasi pergerakan asal.

Batasan Fibonacci retracement

Seperti alat analisis teknikal yang lain, Fibonacci retracement juga mempunyai batasan yang mempengaruhi maklumat yang dapat diberikan.

Bergantung pada data harga terdahulu

Paras Fibonacci ditentukan berdasarkan pergerakan harga terdahulu, jadi paras ini tidak dapat mengambil kira peristiwa pasaran tidak dijangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Tidak menjamin ketepatan ramalan

Nisbah matematik tidak menjamin bahawa harga akan bertindak balas atau berbalik arah pada paras tertentu.

Kepekaan terhadap struktur pasaran

Paras ini mungkin kurang bermakna apabila pergerakan harga tidak menunjukkan struktur trend yang jelas.

Titik rujukan yang subjektif

Paras Fibonacci pada carta yang sama boleh berbeza bergantung pada titik ayunan yang dipilih.

Oleh itu, Fibonacci retracement lebih sesuai digunakan sebagai alat analisis tambahan dan bukan untuk meramalkan pergerakan harga secara bersendirian.

Kesilapan lazim yang perlu dielakkan

Selain batasan sedia ada, terdapat beberapa kesilapan yang boleh mempengaruhi cara pedagang menggunakan dan mentafsir Fibonacci retracement.

Memilih titik ayunan yang kurang ketara

Elakkan melukis alat ini berdasarkan turun naik harga kecil yang tidak mencerminkan pergerakan pasaran secara keseluruhan. Sebaliknya, kenal pasti swing high dan swing low yang jelas terlebih dahulu.

Hanya memberi tumpuan kepada nisbah keemasan

Walaupun paras 61.8% sering diberi perhatian, menganggapnya lebih boleh dipercayai daripada paras lain boleh menyebabkan pedagang terlepas pandang pergerakan harga penting di bahagian lain carta.

Mengabaikan petunjuk teknikal lain

Menggunakan paras Fibonacci tanpa mengambil kira pergerakan harga, arah trend atau sokongan dan rintangan sedia ada boleh menghasilkan tafsiran yang tidak lengkap tentang keadaan pasaran.

Kerap mengubah suai alat ini

Mengubah titik rujukan berulang kali agar sepadan dengan pergerakan harga seterusnya boleh menjadikan analisis terdahulu kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya. Gunakan kriteria lukisan yang konsisten untuk menilai pemerhatian secara objektif.

Kesimpulan

Fibonacci retracement membantu pedagang meneliti pembetulan harga melalui set paras peratusan yang diperoleh secara matematik. Memahami cara menggunakan paras ini dalam keadaan pasaran yang berbeza boleh memberikan konteks berguna untuk mentafsir anjakan dan potensi kawasan tumpuan pasaran.

Apabila digabungkan dengan pergerakan harga dan alat analisis teknikal lain, Fibonacci retracement boleh menyumbang kepada pendekatan yang lebih termaklum dan seimbang dalam menganalisis pergerakan harga. Langkah seterusnya ialah memahami cara menilai idea dagangan menggunakan data pasaran terdahulu, suatu proses yang dikenali sebagai backtesting.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro