Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 5

Apa itu lot dan mengapa saiz lot penting?

19/08/26
7 min

Perkara utama:

Pengenalan

Dalam dagangan, peluang yang sama tidak semestinya menghasilkan keputusan yang serupa. Salah satu faktor yang boleh membezakan hasil dagangan ialah saiz posisi yang dipilih. Kesilapan kecil dalam menentukan saiz posisi boleh memberi kesan ketara terhadap hasil dagangan anda. Setiap dagangan mempunyai saiz tertentu yang menentukan jumlah aset yang anda beli atau jual di pasaran.

Untuk memudahkan pengukuran saiz posisi, pedagang menggunakan unit standard yang dikenali sebagai lot.

Memahami fungsi lot adalah penting kerana ia mempengaruhi sejauh mana pergerakan pasaran memberi kesan terhadap posisi anda. Saiz lot yang lebih besar bermakna perubahan harga boleh memberi kesan yang lebih besar terhadap hasil dagangan, manakala saiz lot yang lebih kecil memberikan pendedahan pasaran yang lebih rendah.

Apa itu lot?

Lot ialah unit standard yang digunakan untuk menentukan saiz posisi dalam dagangan

Pedagang menggunakan lot untuk menentukan saiz dagangan dengan lebih konsisten, berbanding membuka posisi dalam kuantiti yang berbeza-beza. Nilai satu lot boleh berbeza bergantung pada instrumen, kelas aset dan spesifikasi broker.

Dalam dagangan Forex, satu lot standard biasanya mewakili 100,000 unit mata wang asas. Sebagai contoh, jika anda membuka satu lot standard EUR/USD, bermakna anda berdagang 100,000 euro berbanding dolar AS.

Walau bagaimanapun, saiz kontrak bagi satu lot tidak semestinya sama untuk semua instrumen seperti komoditi, indeks, saham atau CFD kripto. Pedagang perlu sentiasa menyemak spesifikasi instrumen sebelum membuka dagangan.

Dengan menggunakan lot, pedagang dapat membandingkan saiz posisi dengan lebih konsisten antara pelbagai instrumen dan platform dagangan.

Jenis saiz lot dalam dagangan

Dalam kebanyakan platform dagangan, khususnya bagi dagangan Forex, pedagang biasanya menggunakan tiga saiz lot, iaitu standard, mini dan micro. Setiap satunya mewakili saiz posisi dan tahap pendedahan pasaran yang berbeza.

Jenis Lot

Saiz Dagangan 

Umum Digunakan 

Lot Standard

100,000 unit

Posisi bersaiz besar

Lot Mini

10,000 unit

Posisi bersaiz sederhana

Lot Micro 

1,000 unit 

Posisi bersaiz kecil 

Sesetengah broker turut menawarkan lot nano, yang lebih kecil daripada lot micro. Walau bagaimanapun, lot standard, lot mini dan lot micro ialah saiz lot yang paling lazim digunakan dalam dagangan.

Pemilihan saiz lot yang sesuai memainkan peranan penting dalam pengurusan posisi. Pedagang yang ingin mengurus risiko lazimnya memilih posisi yang lebih kecil, manakala posisi yang lebih besar biasanya digunakan oleh pedagang yang lebih berpengalaman berdasarkan saiz akaun dan strategi mereka.

Lot Standard

Dalam banyak contoh dagangan Forex, satu lot standard bersamaan dengan 100,000 unit mata wang asas.

Bagi kebanyakan pasangan mata wang yang disebut harga dalam USD, satu lot standard biasanya mempunyai nilai pip sekitar $10 bagi setiap pip. Ini bermakna, pergerakan sebanyak 10 pip boleh mengubah nilai posisi sekitar $100.

Dengan pendedahan pasaran yang lebih besar, lot standard lazimnya lebih sesuai untuk pedagang yang memahami bagaimana saiz posisi boleh mempengaruhi risiko dan pendedahan pasaran.

Lot Mini

Dalam banyak contoh dagangan Forex, satu lot mini bersamaan dengan 10,000 unit mata wang asas. 

Bagi kebanyakan pasangan mata wang yang disebut harga dalam USD, satu lot mini biasanya mempunyai nilai pip sekitar $1 bagi setiap pip. Ini bermakna, pergerakan sebanyak 10 pip boleh mengubah nilai posisi sekitar $10.

Dengan pendedahan pasaran yang lebih rendah berbanding lot standard, lot mini membolehkan pedagang membuka posisi sambil mengurus saiz dagangan dengan lebih fleksibel.

Lot Micro 

Dalam banyak contoh dagangan Forex, satu lot micro bersamaan dengan 1,000 unit mata wang asas.

Bagi kebanyakan pasangan mata wang yang disebut harga dalam USD, satu lot micro biasanya mempunyai nilai pip sekitar $0.10 bagi setiap pip. Dengan lot micro, pergerakan sebanyak 10 pip boleh mengubah nilai posisi sekitar $1. 

Lot micro sering digunakan oleh pedagang yang ingin berlatih mengurus posisi dengan risiko dan pendedahan pasaran yang lebih rendah.

Kepentingan saiz lot

Selepas memahami jenis lot yang biasa digunakan, pedagang perlu mengetahui kepentingan saiz lot sebelum membuka sesuatu dagangan.

Saiz lot mempengaruhi sejauh mana perubahan pasaran memberi kesan kepada akaun dagangan anda. Semakin besar saiz lot, semakin besar kesan setiap pergerakan pip terhadap akaun anda, manakala saiz lot yang lebih kecil mengurangkan kesan tersebut. 

Pergerakan pasaran yang sama tidak semestinya memberi kesan yang sama kepada setiap posisi. Perubahan harga yang kecil mungkin hanya memberi kesan terhad kepada posisi lot micro, tetapi boleh memberi kesan yang jauh lebih besar kepada posisi lot standard. 

Saiz lot yang lebih besar boleh meningkatkan:

  • Potensi keuntungan dan kerugian
  • Nilai pip
  • Pendedahan pasaran 
  • Pendedahan pasaran
  • Risiko dagangan keseluruhan 

Sebagai contoh, pergerakan sebanyak 10 pip boleh mengubah nilai posisi sekitar $100 bagi lot standard, $10 bagi lot mini dan $1 bagi lot micro.

Memahami saiz lot adalah penting untuk mengurus risiko dan mengelakkan pembukaan posisi yang terlalu besar. Pedagang yang ingin mengetahui lebih lanjut bagaimana saiz posisi mempengaruhi keperluan margin juga boleh merujuk cara margin dalam dagangan berfungsi. 

Bagaimana saiz lot mempengaruhi nilai pip

Saiz lot berkait rapat dengan nilai pip. Semakin besar saiz lot, semakin tinggi nilai kewangan bagi setiap pergerakan pip.

Jadual di bawah menunjukkan bagaimana saiz lot yang berbeza boleh mempengaruhi nilai pip dalam dagangan Forex. 

Jenis Lot

Anggaran Nilai Pip*

Lot Standard

Anggaran $10 setiap pip

Lot Mini

Anggaran $1 setiap pip

Lot Micro

Anggaran $0.10 setiap pip

*Nilai ini secara amnya terpakai untuk kebanyakan pasangan mata wang yang disebut harga dalam USD, seperti EUR/USD.

Semakin besar saiz lot, semakin tinggi nilai bagi setiap pergerakan pip. Ini bermakna, perubahan pasaran yang kecil sekalipun boleh memberi kesan kewangan yang ketara apabila berdagang dengan posisi yang lebih besar.

Cara mengira saiz lot

Saiz lot biasanya dikira berdasarkan jumlah risiko yang sanggup ditanggung oleh pedagang bagi sesuatu dagangan, dengan mengambil kira jurang henti rugi dan nilai pip. 

Untuk mengira saiz lot dengan lebih tepat, pedagang perlu memahami empat perkara penting terlebih dahulu:

  • Baki akaun
  • Jumlah risiko
  • Jurang henti rugi
  • Nilai pip

Formula asas ialah:

Saiz Lot = Jumlah Risiko ÷ (Henti Rugi dalam Pip × Nilai Pip)

Dengan menggunakan formula ini, pedagang dapat menganggarkan saiz posisi yang selaras dengan strategi pengurusan risiko mereka dan mengelakkan penentuan saiz dagangan secara rawak.

Contoh pengiraan saiz lot

Perubahan kecil pada saiz posisi juga boleh mempengaruhi tahap pendedahan anda dalam sesuatu dagangan.

Seorang pedagang dengan akaun bernilai $5,000 menetapkan risiko sekitar $100 untuk sesuatu dagangan.

Bagi pengiraan ini, nilai berikut digunakan:

  • Baki akaun: $5,000
  • Jumlah posisi: $100
  • Jurang henti rugi: 50 pip
  • Nilai pip: Anggaran $10 setiap pip untuk lot standard

Pengiraannya adalah seperti berikut:

$100 ÷ (50 × $10) = 0.20 lot

Berdasarkan pengiraan ini, pedagang boleh membuka posisi dengan saiz sekitar 0.20 lot.

Ini bermakna pedagang tidak membuka satu lot standard penuh, sebaliknya menggunakan saiz posisi yang lebih kecil untuk menyesuaikan dagangan dengan tahap risiko yang dipilih.

Saiz lot dan leveraj

Saiz lot juga berkait rapat dengan leveraj.

Leveraj membolehkan pedagang mengawal posisi lebih besar dengan modal yang lebih kecil, namun ia turut meningkatkan pendedahan terhadap pergerakan harga.

Sebagai contoh, pedagang yang menggunakan leveraj tinggi bersama saiz lot yang besar mungkin melihat perubahan pada keuntungan dan kerugian berlaku dengan lebih ketara. Ini tidak bermakna sesuatu dagangan itu lebih baik atau lebih buruk, tetapi risiko tetap perlu diuruskan dengan berhati-hati.

Gabungan saiz lot dan leveraj yang digunakan boleh menyebabkan pendedahan pasaran dalam akaun dagangan meningkat dengan lebih cepat, khususnya apabila pasaran bergerak dengan pantas.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh pedagang baharu

Ramai pedagang baharu cenderung memberi tumpuan kepada arah pasaran tanpa memahami sepenuhnya kesan saiz posisi. Akibatnya, mereka mungkin membuka posisi yang lebih besar daripada yang dirancang.

Antara kesilapan yang sering berlaku termasuk:

  • Membuka posisi yang terlalu besar
  • Tidak mengambil kira jurang henti rugi
  • Menggunakan saiz lot yang sama untuk setiap dagangan
  • Meningkatkan saiz lot selepas mengalami kerugian
  • Tidak menyedari bahawa saiz lot yang lebih besar meningkatkan nilai pip dan pendedahan pasaran

Dalam dagangan, saiz posisi memainkan peranan yang sama penting dengan arah pasaran dalam menentukan hasil sesuatu dagangan. Mengurus saiz lot dengan teliti membantu membina pengurusan risiko yang lebih baik serta membuat keputusan dagangan yang lebih konsisten.

Kesimpulan

Saiz lot merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi bagaimana sesuatu posisi memberi kesan dalam pasaran. Ia boleh mempengaruhi nilai pip, tahap pendedahan pasaran, potensi keuntungan atau kerugian, serta risiko dagangan secara keseluruhan.

Walaupun kebanyakan platform dagangan kini mengira saiz posisi secara automatik, memahami cara saiz lot berfungsi membantu pedagang membuat keputusan yang lebih termaklum sebelum membuka sesuatu dagangan.

Dalam pasaran yang bergerak pantas, saiz posisi bukan sekadar tetapan teknikal, tetapi juga merupakan sebahagian penting daripada pengurusan risiko. Dengan mengurus saiz lot secara teliti, pedagang boleh mengawal pendedahan, melindungi modal, dan membuat keputusan dagangan yang lebih konsisten.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro