Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 8

Apa itu pesanan henti rugi?

19/08/26
7 min

Perkara utama:

Pengenalan

Kejayaan dalam dagangan bukan hanya bergantung pada kebolehan mengenal pasti peluang, tetapi juga pada keupayaan mengurus risiko dengan berkesan. Pesanan henti rugi merupakan salah satu alat yang paling kerap digunakan untuk mengawal risiko.

Pesanan henti rugi membantu pedagang menentukan jumlah risiko yang sanggup ditanggung bagi sesuatu posisi sebelum memasuki pasaran. Dengan menetapkan paras henti rugi lebih awal, pedagang boleh mengehadkan potensi kerugian sekiranya pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan mereka.

Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari apa itu pesanan henti rugi, cara ia berfungsi, sebab pedagang menggunakannya, serta perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menetapkannya.

Apa itu pesanan henti rugi?

Pesanan henti rugi ialah arahan untuk menutup sesuatu posisi dagangan secara automatik apabila pasaran bergerak bertentangan dengan posisi beli atau jual yang dibuka dan harga mencapai paras yang telah ditetapkan.

Tujuan utama pesanan henti rugi adalah untuk membantu mengehadkan potensi kerugian sekiranya pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan pedagang.

Sebagai contoh, jika seorang pedagang membeli EUR/USD pada harga 1.1000 dan menetapkan henti rugi pada paras 1.0950, posisi tersebut akan ditutup secara automatik apabila harga turun ke paras tersebut.

Tanpa pesanan ini, posisi tersebut mungkin kekal terbuka jika pasaran terus bergerak bertentangan dengan jangkaan pedagang, sekali gus meningkatkan potensi kerugian.

Oleh sebab itu, pesanan henti rugi sering digunakan sebagai sebahagian daripada pendekatan dagangan yang lebih terancang.

Bagaimana ia berfungsi?

Pesanan henti rugi hanya akan diaktifkan apabila pasaran mencapai paras harga yang telah ditetapkan. Sebaik sahaja paras tersebut dicapai, platform dagangan akan mengaktifkan pesanan secara automatik dan cuba menutup posisi yang dibuka.

Bagi posisi beli, pesanan henti rugi biasanya ditetapkan di bawah harga pembukaan. Bagi posisi jual, pesanan ini biasanya ditetapkan di atas harga pembukaan. Ini membolehkan pedagang menetapkan titik keluar lebih awal sebelum membuka posisi, berbanding membuat keputusan ketika posisi masih terbuka dan pasaran sedang bergerak.

Sebagai contoh, seorang pedagang membuka posisi beli emas pada harga $3,300 per auns. Bagi mengehadkan potensi kerugian, henti rugi ditetapkan pada paras $3,250. Jika harga emas meningkat, posisi tersebut akan kekal terbuka. Namun, jika harga turun ke paras $3,250, pesanan henti rugi akan diaktifkan dan posisi akan ditutup secara automatik.

Ini membantu mengehadkan kerugian daripada terus meningkat sekiranya pasaran terus bergerak bertentangan dengan jangkaan pedagang.

Mengapa pedagang menggunakan pesanan henti rugi?

Pesanan ini digunakan secara meluas kerana ia membantu pedagang mengurus risiko dengan lebih berdisiplin, antaranya:

  • Mengehadkan potensi kerugian
  • Melindungi modal dagangan
  • Mengurangkan keputusan yang dipengaruhi emosi
  • Menyokong pengurusan risiko yang lebih konsisten

Pasaran boleh bergerak dengan pantas, terutamanya apabila berlaku turun naik yang ketara atau selepas perkembangan penting dalam ekonomi, politik atau geopolitik. Titik keluar yang ditetapkan lebih awal ini membantu mengurangkan keraguan, mengelakkan keputusan terburu-buru serta memastikan pedagang lebih bersedia apabila keadaan pasaran berubah.

Jenis pesanan

Walaupun fungsi asasnya tetap sama, penggunaan dan ketersediaan pesanan henti rugi boleh berbeza mengikut broker serta platform dagangan yang digunakan.

Henti rugi standard

Menutup posisi secara automatik apabila pasaran mencapai paras harga yang telah ditetapkan. Ini merupakan jenis pesanan henti rugi yang paling biasa digunakan untuk membantu mengehadkan potensi kerugian apabila pasaran bergerak bertentangan dengan posisi tersebut.

Contoh:

Seorang pedagang membeli EURUSD pada harga 1.1000 dan menetapkan henti rugi pada paras 1.0950. Apabila pasaran turun ke paras tersebut, posisi akan ditutup secara automatik, sekali gus membantu mengehadkan kerugian daripada terus meningkat.

Henti rugi bergerak (trailing stop loss)

Dilaraskan secara automatik apabila pasaran bergerak ke arah yang menguntungkan pedagang.

Berbeza daripada henti rugi biasa yang kekal pada satu paras harga sahaja, pesanan henti rugi ini bergerak mengikuti pergerakan pasaran pada jarak yang telah ditetapkan. Sekiranya pasaran berbalik arah dan mencapai paras henti rugi bergerak, posisi tersebut mungkin ditutup secara automatik.

Contoh:

Seorang pedagang membeli emas pada harga $3,300 dan menetapkan henti rugi bergerak pada jarak $25 di bawah harga pasaran semasa.

Jika harga emas meningkat ke $3,400, henti rugi bergerak akan turut meningkat secara automatik ke paras $3,375 untuk mengekalkan jarak $25. Sekiranya pasaran kemudiannya berbalik arah dan turun sebanyak $25, posisi tersebut mungkin ditutup, sekali gus membantu melindungi sebahagian daripada keuntungan yang belum direalisasikan.

Pesanan ini boleh digunakan untuk membantu melindungi keuntungan sambil memberi ruang kepada posisi dagangan untuk terus berkembang.

Henti rugi terjamin (GSLO)

Menjamin posisi ditutup pada harga tepat yang ditetapkan oleh pedagang, tanpa mengira volatiliti pasaran atau jurang harga.

Memandangkan ciri ini memberikan perlindungan tambahan ketika pasaran bergerak dengan pantas, sesetengah broker mungkin mengenakan caj tambahan atau premium untuk menggunakan GSLO. Ketersediaan dan syarat GSLO berbeza mengikut broker serta platform dagangan.

Contoh:

Seorang pedagang membeli indeks pada paras 20,000 dan menetapkan GSLO pada paras 19,800. Susulan pengumuman berita ekonomi yang menggemparkan, pasaran dibuka pada paras 19,750, iaitu lebih rendah daripada paras henti rugi yang ditetapkan.

Tanpa GSLO, posisi tersebut mungkin akan ditutup hampir pada paras 19,750. Sebaliknya, dengan GSLO, posisi tersebut akan ditutup pada paras harga terjamin 19,800.

Had dan risiko

Walaupun pesanan henti rugi merupakan alat pengurusan risiko yang berguna, ia tidak dapat menghapuskan risiko sepenuhnya.

Jurang pasaran

Semasa tempoh volatiliti tinggi atau selepas pengumuman berita penting, harga boleh bergerak dengan pantas dari satu paras ke paras yang lain. Keadaan ini sering menyebabkan jurang besar antara harga penutupan sesi sebelumnya dengan harga pembukaan sesi berikutnya.

Dalam situasi seperti ini, pesanan henti rugi mungkin dilaksanakan pada harga seterusnya yang tersedia dan bukannya pada paras asal yang ditetapkan. Oleh itu, kerugian tidak semestinya dapat dihadkan ke tahap minimum.

Penetapan yang kurang sesuai

Pesanan yang ditetapkan terlalu hampir dengan harga pembukaan mungkin akan dicetuskan oleh turun naik pasaran biasa, manakala pesanan yang ditetapkan terlalu jauh pula boleh mendedahkan dagangan kepada risiko yang lebih besar daripada yang dirancang.

Oleh sebab itu, penetapan paras henti rugi perlu disesuaikan dengan strategi dagangan, keadaan pasaran dan tahap risiko yang boleh diterima.

Cara menetapkan paras henti rugi

Tiada satu kaedah khusus digunakan untuk menetapkan paras henti rugi. Ramai pedagang menggunakan analisis teknikal untuk mengenal pasti paras harga yang sesuai sebagai henti rugi. Paras ini mungkin termasuk:

Sesetengah pedagang juga menetapkan paras henti rugi berdasarkan peraturan pengurusan risiko mereka. Antara pendekatan yang sering digunakan termasuk:

  • Risiko berasaskan peratusan: Risiko bagi setiap dagangan dihadkan kepada peratusan tetap daripada modal akaun dagangan (kebiasaannya 1–2%)
  • Risiko berasaskan jumlah tetap: Jumlah maksimum kerugian bagi setiap dagangan ditetapkan lebih awal

Tanpa mengira kaedah yang digunakan, paras henti rugi perlu ditetapkan selaras dengan strategi dagangan sambil memastikan risiko yang berpotensi kekal dalam tahap yang boleh diterima.

Paras ini tidak seharusnya dipilih secara rawak. Sebaliknya, ia perlu mengambil kira keadaan pasaran serta pendekatan pengurusan risiko pedagang secara keseluruhan.

Kesilapan lazim

Semasa mempelajari penggunaan pesanan henti rugi, terdapat beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh pedagang.

Mengalihkan henti rugi ke paras yang lebih jauh

Sesetengah pedagang cenderung mengalihkan henti rugi ke paras yang lebih jauh bagi mengelakkan kerugian selepas membuka posisi. Namun, tindakan ini boleh meningkatkan risiko dan menjejaskan pelan dagangan asal.

Menetapkan henti rugi terlalu hampir

Henti rugi yang ditetapkan terlalu hampir dengan harga pembukaan boleh menyebabkan posisi ditutup terlalu awal sebelum dagangan sempat berkembang. Pergerakan harga biasa juga boleh mencetuskan penutupan posisi walaupun idea dagangan asal masih relevan.

Berdagang tanpa pesanan henti rugi

Situasi ini boleh mendedahkan akaun kepada kerugian yang lebih besar sekiranya pasaran bergerak dengan ketara menentang posisi.

Walaupun tidak semua strategi menggunakan alat ini dengan cara yang sama, pedagang baharu perlu memahami risiko membiarkan posisi terbuka tanpa pelan keluar yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Pesanan henti rugi sering menjadi salah satu alat pengurusan risiko pertama yang dipelajari oleh pedagang, namun peranannya bukan sekadar untuk mengehadkan kerugian.

Menetapkan pesanan henti rugi memerlukan pedagang menilai risiko sebelum membuka posisi. Langkah ini menggalakkan pendekatan yang lebih berdisiplin dan membantu mewujudkan struktur bagi setiap dagangan.

Walaupun tiada alat yang dapat menghapuskan risiko sepenuhnya, memahami cara pesanan henti rugi berfungsi membantu pedagang membuat keputusan yang lebih terancang serta membina tabiat dagangan yang lebih kukuh dari semasa ke semasa.

Sila ambil maklum bahawa semua maklumat dalam pelajaran ini disediakan untuk tujuan pendidikan sahaja. XMTrading menawarkan pesanan henti rugi standard.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro