Pengenalan
Dagangan CFD merupakan antara konsep dagangan paling popular dalam pasaran kewangan.
CFD ialah sejenis produk derivatif kewangan yang menjadi pilihan ramai pedagang untuk mengakses pasaran kewangan global. Ini kerana CFD membolehkan pedagang mengambil peluang daripada pergerakan harga tanpa perlu memiliki aset pendasar. Melalui CFD, pedagang boleh berdagang dalam pelbagai pasaran, termasuk forex, saham, komoditi, indeks, logam berharga, tenaga dan mata wang kripto.
Walaupun CFD menawarkan akses yang mudah ke pasaran kewangan, ia juga mempunyai risiko. Sebelum membuat dagangan pertama, anda perlu memahami cara CFD berfungsi, sebab pedagang menggunakannya, serta konsep asas yang boleh mempengaruhi keputusan dagangan.
Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari apa itu dagangan CFD, cara CFD berfungsi, kelebihan dan risikonya, serta langkah-langkah asas untuk bermula.
Apa itu CFD?
CFD bermaksud Kontrak untuk Perbezaan (Contract for Difference). Ia merupakan perjanjian kewangan antara pedagang dan broker berdasarkan perbezaan harga sesuatu aset pendasar antara waktu posisi dibuka dan ditutup.
Dalam dagangan CFD, pedagang tidak memiliki aset tersebut. Sebaliknya, mereka hanya berspekulasi sama ada harganya akan naik atau turun. Sebagai contoh, apabila berdagang CFD emas, anda tidak membeli emas fizikal. Begitu juga, apabila berdagang CFD saham, anda tidak membeli saham sesebuah syarikat.
Sebaliknya, anda memasuki kontrak yang nilainya bergantung pada pergerakan harga aset tersebut. Keuntungan atau kerugian bergantung pada perubahan harga antara waktu posisi dibuka dan ditutup. Inilah salah satu perbezaan utama antara dagangan CFD dengan pelaburan tradisional.
Sebagai contoh, jika seorang pedagang menjangkakan harga emas akan meningkat, mereka boleh membuka posisi CFD. Jika harga bergerak seperti yang dijangkakan, perbezaan antara harga pembukaan dan harga penutupan boleh menghasilkan keuntungan. Namun, jika pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan, dagangan tersebut mungkin mengakibatkan kerugian. Prinsip yang sama juga terpakai dalam pelbagai pasaran kewangan.
Pasaran yang lazim didagangkan melalui CFD
Tanpa perlu membuka akaun berasingan untuk pasaran yang berbeza, pedagang boleh mengakses pelbagai kelas aset melalui satu platform dagangan. Antara pasaran CFD yang lazim ialah:
- Pasangan mata wang Forex
- Saham
- Logam Berharga
- Tenaga
- Indeks
- Mata Wang Kripto
Ini membolehkan pedagang meneroka pelbagai peluang merentasi kelas aset dan keadaan pasaran yang berbeza.
Bagaimana dagangan CFD berfungsi?
Pada asasnya, dalam dagangan CFD, anda akan membuat jangkaan sama ada harga sesuatu aset akan naik atau turun. Jika anda menjangkakan harga akan meningkat, anda boleh membuka posisi beli (long). Sebaliknya, jika anda menjangkakan harga akan menurun, anda boleh membuka posisi jual (short).
Keuntungan atau kerugian bergantung pada perbezaan antara harga pembukaan dan harga penutupan. Sebagai contoh:
Sekiranya EUR/USD didagangkan pada 1.1000 dan seorang pedagang menjangkakan euro akan mengukuh berbanding dolar AS, mereka boleh membuka posisi beli.
Jika harga meningkat kepada 1.1050 dan mereka menutup posisi tersebut, keuntungan yang berpotensi untuk diraih bergantung pada saiz posisi dan pergerakan harga. Namun, jika harga menurun kepada 1.0950, mereka mungkin mengalami kerugian.
Salah satu ciri yang membezakan dagangan CFD daripada kebanyakan bentuk pelaburan tradisional ialah keupayaan untuk berdagang ketika pasaran menaik mahupun menurun.
Leveraj dan margin dalam dagangan CFD
Apabila mempelajari tentang CFD, dua istilah yang penting untuk difahami ialah leveraj dan margin.
Leveraj membolehkan pedagang membuka posisi yang lebih besar dengan modal yang lebih kecil, manakala margin ialah dana yang diperlukan untuk membuka dan mengekalkan posisi tersebut.
Leveraj boleh meningkatkan potensi keuntungan dan kerugian. Oleh itu, ia perlu digunakan dengan berhati-hati sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko yang menyeluruh dalam dagangan CFD.
Mengapa pedagang memilih CFD?
CFD menawarkan pelbagai kelebihan yang menjadikannya pilihan ramai pedagang.
Akses ke pelbagai pasaran
Pedagang tidak perlu membuka akaun berasingan untuk setiap kelas aset. Sebaliknya, mereka boleh mengakses forex, komoditi, saham dan indeks melalui satu akaun dagangan CFD.
Berdagang ketika pasaran menaik dan menurun
Berbeza dengan pelaburan tradisional, CFD membolehkan pedagang mengambil peluang ke atas pergerakan harga yang menaik mahupun menurun, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai keadaan pasaran.
Penggunaan leveraj
Leveraj membolehkan pedagang mengawal posisi lebih besar dengan modal lebih kecil daripada yang biasanya diperlukan.
Fleksibiliti dalam dagangan
Akses kepada pelbagai kelas aset membolehkan pedagang menyesuaikan strategi mereka berdasarkan pelbagai trend pasaran, peristiwa dan perkembangan ekonomi.
Apakah risiko dagangan CFD?
Walaupun CFD menawarkan fleksibiliti dan akses kepada pasaran, pedagang perlu memahami bahawa ia juga melibatkan risiko yang ketara, sama seperti bentuk dagangan yang lain.
Volatiliti pasaran
Harga boleh berubah dengan pantas berikutan pengumuman ekonomi, keputusan bank pusat, peristiwa geopolitik atau berita pasaran yang tidak dijangka. Akibatnya, dagangan mungkin tidak sentiasa memberikan hasil seperti yang dijangkakan.
Risiko leveraj
Memandangkan CFD sering melibatkan leveraj, pergerakan pasaran yang kecil sekalipun boleh memberi impak yang jauh lebih besar terhadap potensi keuntungan dan kerugian yang diperoleh.
Membuat keputusan secara emosional
Emosi seperti rasa takut, tamak dan kurang sabar boleh menyebabkan pedagang menyimpang daripada strategi mereka serta mengambil risiko tidak wajar yang membawa kepada hasil dagangan yang kurang baik jika tidak diurus dengan baik.
Pengurusan risiko yang lemah
Berdagang tanpa pelan, pesanan henti rugi atau syarat saiz posisi yang jelas boleh mendedahkan pedagang kepada risiko kerugian yang lebih besar daripada yang dijangkakan.
Oleh sebab itu, pedagang yang berjaya biasanya bukan sahaja fokus untuk mengenal pasti peluang, malah mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, mengurus risiko dengan berkesan, dan mematuhi pelan dagangan yang teratur.
Cara memulakan dagangan CFD
Untuk memulakan dagangan CFD, terdapat beberapa langkah mudah yang perlu diikuti.
- Pelajari asas dagangan
Bina pemahaman yang kukuh mengenai:
- Pasaran kewangan
- Terminologi dagangan
- Analisis teknikal
- Analisis fundamental
- Pengurusan risiko
- Pilih platform dagangan
Pilih platform yang memberi anda akses kepada pasaran pilihan serta menyediakan alat yang diperlukan untuk membuat analisis dan melaksanakan pesanan dagangan.
- Bina pelan dagangan
Pelan dagangan perlu merangkumi:
- Kriteria membuka entri
- Kriteria menutup entri
- Syarat pengurusan risiko
- Panduan penetapan saiz posisi
- Berlatih menggunakan akaun demo
Ramai pedagang baharu memilih untuk bermula dengan akaun demo dengan tujuan menimba pengalaman tanpa merisikokan modal sendiri.
- Mengurus risiko dengan teliti
Sebelum membuka sebarang posisi:
- Tentukan tahap risiko yang mampu ditanggung
- Tetapkan pesanan henti rugi
- Elakkan penggunaan leveraj berlebihan
- Ikuti pelan dagangan anda secara konsisten
- Kawal saiz posisi
Perbandingan antara dagangan CFD dan pelaburan tradisional
|
Dagangan CFD |
Pelaburan tradisional |
|---|---|
|
Tiada pemilikan aset pendasar |
Pemilikan aset pendasar |
|
Boleh meraih keuntungan daripada pergerakan harga yang menaik dan menurun |
Lazimnya mendapat manfaat apabila pasaran menaik |
|
Menggunakan leveraj |
Biasanya memerlukan modal pelaburan penuh |
|
Sering digunakan untuk dagangan jangka pendek |
Sering dikaitkan dengan pelaburan jangka panjang |
|
Risiko lebih tinggi kerana leveraj |
Pendedahan risiko yang umumnya lebih rendah |
Tiada satu pendekatan yang lebih baik daripada yang lain. Pilihan yang paling sesuai bergantung pada matlamat kewangan, tahap pengalaman, toleransi risiko, gaya dagangan dan strategi anda.
Kesimpulan
Memahami CFD merupakan langkah pertama dalam membina pengetahuan dagangan. Walaupun CFD menyediakan akses kepada pelbagai pasaran dan peluang, kejayaan dalam dagangan bukan sekadar bergantung pada kebolehan untuk meramal pergerakan harga.
Membina pemahaman yang kukuh tentang pengurusan risiko, analisis pasaran dan disiplin dagangan dapat membantu anda membuat keputusan yang lebih termaklum sepanjang perjalanan dagangan serta menyumbang kepada perkembangan dagangan jangka panjang.

