Dagangan Forex dan derivatif melibatkan risiko yang tinggi dan boleh menyebabkan kerugian pada modal yang anda laburkan...

Pelajaran 2

Memahami jenis carta dagangan

30/08/26
6 min

Perkara utama:

Pengenalan

Carta merupakan asas kepada analisis teknikal kerana menyediakan gambaran visual tentang perubahan harga sesuatu aset dari semasa ke semasa. Sebelum pedagang dapat mengenal pasti trend, mengenali corak carta atau menganalisis paras sokongan dan rintangan, mereka perlu terlebih dahulu memahami cara maklumat harga dipaparkan.

Platform dagangan moden menawarkan beberapa jenis carta yang memaparkan data pasaran yang sama dalam pelbagai cara. Walaupun maklumat yang dipaparkan tetap sama, cara data tersebut dipersembahkan boleh mempengaruhi keupayaan pedagang untuk mengenal pasti trend, pergerakan harga dan potensi peluang dagangan.

Dalam pelajaran ini, anda akan mempelajari tiga jenis carta dagangan utama, perbezaannya serta bila setiap jenis biasanya digunakan oleh pedagang.

Apa itu carta dagangan?

Carta dagangan ialah paparan visual pergerakan harga sesuatu aset dalam tempoh tertentu. Sama ada menganalisis forex, saham, komoditi atau mata wang kripto, pedagang boleh menggunakan carta untuk melihat pergerakan harga lampau dan memantau perubahan harga.

Setiap carta menggunakan data pasaran asas yang sama. Perbezaannya terletak pada cara maklumat tersebut dipaparkan.

Sebagai contoh, satu carta mungkin hanya memaparkan harga penutupan, manakala carta lain menunjukkan harga pembukaan, harga tertinggi, harga terendah dan harga penutupan bagi setiap tempoh dagangan. Walaupun paparannya berbeza, data harga yang digunakan tetap sama.

Memahami perbezaan ini dapat membantu pedagang memilih jenis carta yang paling sesuai dengan gaya dagangan dan pendekatan analisis mereka.

Mengapa pedagang menggunakan carta?

Pergerakan harga menjana pelbagai maklumat pasaran yang sukar dianalisis jika hanya dipaparkan dalam bentuk angka. Carta mempersembahkan maklumat ini secara visual, memudahkan pedagang mengenal pasti:

  • Trend pasaran dan corak carta
  • Paras di mana harga kerap berbalik arah
  • Perubahan dalam momentum pasaran
  • Peluang dagangan yang berpotensi

Daripada cuba meramalkan pergerakan masa hadapan, pedagang teknikal menggunakan carta untuk:

  • Memahami pergerakan pasaran terdahulu
  • Menilai kecenderungan arah harga pada masa hadapan berdasarkan pergerakan tersebut

Tiga jenis carta dagangan utama

Walaupun terdapat pelbagai variasi carta yang tersedia, kebanyakan pedagang cenderung menggunakan salah satu daripada tiga jenis carta berikut:

  • Carta garis
  • Carta bar
  • Carta candlestick

Setiap jenis mempunyai kelebihan tersendiri dan sesuai untuk tahap analisis yang berbeza berdasarkan data pasaran yang sama.

Carta Garis

Carta garis merupakan jenis carta dagangan yang paling ringkas.

line_chart_2x.webp

Carta ini menyambungkan harga penutupan bagi setiap tempoh dagangan untuk membentuk satu garisan. Oleh kerana ia hanya menunjukkan harga penutupan, anda boleh melihat arah pergerakan pasaran dengan lebih mudah.

Ramai pedagang baharu mendapati carta garis lebih mudah untuk difahami kerana carta ini tidak memaparkan turun naik harga jangka pendek seperti yang dipaparkan dalam carta yang lebih terperinci.

Namun, carta yang lebih ringkas menyediakan maklumat yang lebih terhad. Carta garis hanya menunjukkan harga penutupan, jadi harga pembukaan, harga tertinggi dan harga terendah tidak dapat dilihat. Oleh itu, carta ini kurang sesuai jika anda mahukan analisis pergerakan harga yang lebih terperinci.

Paling sesuai untuk:

  • Mengenal pasti trend jangka panjang
  • Melihat arah keseluruhan pasaran
  • Pedagang baharu yang mempelajari asas analisis carta

Carta Bar

Carta bar menyediakan maklumat harga yang lebih terperinci berbanding carta garis.

bar_chart_2x.webp

Setiap bar menunjukkan pergerakan harga bagi satu tempoh dagangan dan memaparkan empat harga:

  • Harga pembukaan
  • Harga tertinggi
  • Harga terendah
  • Harga penutupan

Data ini lazimnya dikenali sebagai data OHLC (Open, High, Low, Close), iaitu harga pembukaan, tertinggi, terendah dan penutupan.

Walaupun carta bar memaparkan lebih banyak maklumat berbanding carta garis, ia lebih kompleks dan sukar difahami oleh pedagang yang belum mahir membaca carta harga.

Oleh sebab itu, carta bar sering menjadi pilihan pedagang berpengalaman yang mahukan maklumat harga terperinci tanpa paparan visual seperti yang terdapat pada carta candlestick.

Paling sesuai untuk:

  • Menganalisis pergerakan harga secara terperinci
  • Mengkaji pergerakan harga lampau
  • Pedagang yang mahir mentafsir data OHLC

Carta Candlestick

Carta candlestick merupakan jenis carta yang paling banyak digunakan dalam pasaran kewangan hari ini.

candlesticks_charts_2x.webp

Seperti carta bar, setiap candlestick menunjukkan harga pembukaan, tertinggi, terendah dan penutupan (OHLC) bagi satu tempoh dagangan. Perbezaannya, harga ini dipaparkan dalam bentuk segi empat tepat dengan sumbu di bahagian atas dan bawah, supaya pergerakan harga lebih mudah dilihat dan difahami.

Ini membolehkan pedagang mengenal pasti dengan cepat sama ada pembeli atau penjual lebih dominan dalam pasaran bagi tempoh tertentu, serta menilai kekuatan pergerakan harga terkini.

Gabungan maklumat terperinci dan paparan visual yang jelas menjadikan carta candlestick pilihan utama ramai pedagang runcit dan profesional.

Paling sesuai untuk:

  • Analisis pasaran harian
  • Analisis corak
  • Pedagang yang bergantung pada sentimen pasaran

Perbandingan carta dagangan utama

Ciri

Carta garis

Carta bar

Carta candlestick

Memaparkan harga penutupan sahaja

✓

✗

✗

Memaparkan harga OHLC

✗

✓

✓

Mudah difahami

Tinggi

Sederhana

Tinggi

Tahap perincian

Rendah

Tinggi

Tinggi

Sesuai untuk pedagang baharu

✓

✓

✓

Tiada satu jenis carta yang lebih baik daripada yang lain. Setiap jenis memaparkan data pasaran yang sama dalam cara yang berbeza, tetapi membantu pedagang melihat aspek pasaran tertentu dengan lebih jelas. Jenis carta yang dipilih bergantung pada matlamat dan pengalaman pedagang.

Apa carta dagangan yang sesuai untuk pedagang baharu?

Kesesuaian carta bergantung pada perkara yang ingin dianalisis oleh pedagang.

Bagi mereka yang baru mempelajari asas analisis teknikal, carta garis memberikan gambaran asas tentang pergerakan harga dan trend.

Apabila pedagang semakin berpengalaman, mereka biasanya beralih kepada carta candlestick kerana carta ini memaparkan lebih banyak maklumat dan masih mudah difahami. Gabungan perincian dan kejelasan ini menjadikan carta candlestick sebagai standard industri di kebanyakan platform dagangan.

Carta bar kekal menjadi pilihan pedagang yang lebih gemar melihat data harga dalam bentuk tradisional atau yang mahir membaca carta OHLC.

Kesimpulannya, tiada carta yang lebih tepat daripada yang lain. Semua jenis carta menggunakan data pasaran yang sama, tetapi memaparkannya dengan cara yang berbeza. Oleh itu, pedagang boleh memilih carta yang paling sesuai dengan pendekatan analisis mereka.

Kesilapan lazim

Semasa mempelajari analisis teknikal, pedagang kadangkala menganggap bahawa satu jenis carta lebih tepat daripada yang lain. Namun, sebenarnya semua carta menggunakan data harga yang sama.

Satu lagi kesilapan yang sering dilakukan ialah terlalu kerap menukar jenis carta. Apabila paparan maklumat harga sering berubah, analisis boleh menjadi kurang konsisten dan lebih sukar ditafsir.

Akhir sekali, pedagang baharu kadangkala memilih carta yang terlalu terperinci sebelum memahami asas analisis teknikal. Sebaiknya, mulakan dengan carta yang lebih mudah dan beralih kepada analisis yang lebih terperinci secara beransur-ansur apabila pemahaman tentang analisis teknikal semakin mendalam.

Kesimpulan

Untuk memahami pergerakan pasaran dengan lebih yakin, pedagang perlu terlebih dahulu mengenali jenis carta dagangan serta cara untuk membacanya.

Walaupun carta garis, carta bar dan carta candlestick memaparkan data harga yang sama, setiap jenis carta menyusun dan memaparkan maklumat tersebut dalam cara yang berbeza. Apabila pengalaman pedagang bertambah, pemilihan carta bukan lagi soal mencari pilihan yang "terbaik", tetapi memilih carta yang paling sesuai dengan jenis analisis yang ingin dilakukan.

Dalam pelajaran seterusnya, kita akan mengenali carta candlestick, iaitu jenis carta yang paling banyak digunakan dalam analisis teknikal, serta mempelajari cara membaca maklumat yang ditunjukkan oleh setiap candlestick.

Dagang Lebih Pantas
Rakan Rasmi Pasukan F1 Visa Cash App Racing Bulls
xm-logo-white

XMTrading ialah broker dalam talian terkemuka, menawarkan dagangan Forex dan Derivatif kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh dunia.

instagramInstagramtwitterX (dahulu dikenali sebagai Twitter)youtubeYouTube

Aplikasi XMTD TraderPro