Pengenalan
Apabila membuka carta dagangan, antara tetapan yang tersedia ialah rangka masa. Menukar rangka masa boleh mengubah paparan carta dalam sekelip mata, walaupun pasaran kekal sama.
Memahami rangka masa merupakan aspek penting untuk mendalami analisis teknikal. Rangka masa yang dipilih menentukan cara harga dipaparkan dan mempengaruhi cara pedagang mentafsir trend, struktur pasaran dan pergerakan harga.
Dalam pelajaran ini, anda akan memahami apa itu rangka masa dagangan, cara ia mempengaruhi analisis carta serta kepentingan memilih rangka masa yang sesuai.
Apa itu rangka masa dagangan?
Rangka masa dagangan menunjukkan tempoh aktiviti bagi setiap candlestick, bar atau titik data pada carta.
Sebagai contoh:
- Rangka masa 1 minit: Setiap candlestick mewakili pergerakan harga dalam tempoh satu minit
- Rangka masa 1 jam: Setiap candlestick mewakili pergerakan harga dalam tempoh satu jam
- Rangka masa harian: Setiap candlestick mewakili pergerakan harga dalam satu hari dagangan penuh
Walaupun pasaran sendiri tidak berubah, paparan pergerakan harga adalah berbeza mengikut rangka masa yang dipilih.
Ini membolehkan pedagang menganalisis pasaran yang sama dari perspektif berbeza tanpa mengubah data harga asal.
Bagaimana rangka masa mempengaruhi carta?
Salah satu konsep penting yang perlu difahami dalam analisis teknikal ialah perubahan rangka masa hanya menukar paparan carta, bukan aktiviti pasaran.
Bayangkan EUR/USD meningkat secara berterusan sepanjang hari dagangan.
- Pada carta harian, pergerakan tersebut mungkin dipaparkan sebagai satu candlestick bullish.

- Pada carta satu jam, pergerakan yang sama akan dibahagikan kepada beberapa candlestick, menunjukkan pergerakan harga lebih kecil yang timbul sepanjang hari.

- Pada carta lima minit, pergerakan harga akan dipaparkan dengan lebih terperinci, menunjukkan lebih banyak pergerakan turun naik jangka pendek yang tidak dipaparkan dalam rangka masa lebih besar.

Setiap carta mewakili pergerakan harga yang sama, tetapi dengan tahap perincian yang berbeza. Oleh itu, pedagang sering memilih rangka masa yang berbeza mengikut perkara yang ingin dianalisis.
Rangka masa dagangan yang lazim digunakan
Kebanyakan platform dagangan menawarkan pelbagai pilihan rangka masa, daripada satu minit hingga satu bulan atau lebih. Antara rangka masa yang paling kerap digunakan ialah:
|
Rangka masa: |
Lazimnya digunakan untuk: |
|---|---|
|
1 minit |
Melihat pergerakan harga jangka pendek |
|
5–15 minit |
Memantau pergerakan harga sepanjang hari |
|
1 jam |
Menganalisis pergerakan harga jangka pendek dan sederhana |
|
4 jam |
Mengenal pasti struktur pasaran dengan lebih luas |
|
Harian |
Menilai arah pasaran secara menyeluruh |
|
Mingguan |
Memerhati trend pasaran jangka masa panjang |
Contoh-contoh di atas menunjukkan bagaimana pedagang boleh melihat pasaran yang sama dalam jangka masa yang berbeza. Contoh ini bukanlah cadangan, kerana rangka masa yang paling sesuai bergantung pada objektif pedagang dan jenis analisis yang dijalankan.
Memilih rangka masa dagangan
Tiada satu rangka masa dagangan yang "tepat" untuk semua pedagang. Pemilihan rangka masa yang paling sesuai bergantung pada beberapa faktor, seperti:
- Objektif pedagang
- Tempoh posisi biasanya dibuka
- Tahap perincian pergerakan harga yang diperlukan
- Masa yang tersedia untuk memantau pasaran
Sebagai contoh, pedagang yang ingin memantau pergerakan harga jangka pendek mungkin memilih rangka masa yang lebih kecil, manakala mereka yang menumpukan perhatian pada arah aliran pasaran dalam jangka panjang mungkin lebih sesuai menggunakan rangka masa yang lebih besar.
Pedagang tidak perlu mencari rangka masa yang terbaik. Sebaliknya, pilih rangka masa yang selaras dengan pendekatan dagangan mereka dan memberikan tahap perincian yang diperlukan untuk membuat analisis.
Kesilapan lazim dalam penggunaan rangka masa
Menguasai penggunaan rangka masa memerlukan latihan, dan pedagang baharu mungkin menghadapi beberapa cabaran ketika menganalisis carta.
Kerap menukar rangka masa
Terlalu kerap menukar rangka masa boleh menyebabkan pergerakan harga kelihatan tidak konsisten dan mengelirukan semasa analisis. Pendekatan yang konsisten dapat membantu anda memahami carta dengan lebih mudah.
Menganggap data rangka masa yang lebih pendek lebih tepat
Rangka masa yang lebih kecil memaparkan pergerakan harga dengan lebih terperinci, tetapi tidak semestinya lebih tepat berbanding rangka masa yang lebih besar. Ia hanya memberikan gambaran yang lebih jelas tentang aktiviti pasaran jangka pendek.
Mengabaikan gambaran keseluruhan
Jika hanya bergantung pada satu rangka masa, pedagang mungkin sukar memahami keadaan pasaran secara menyeluruh. Pergerakan harga yang kelihatan ketara dalam rangka masa yang lebih kecil mungkin sebenarnya hanya mencerminkan sebahagian daripada trend yang lebih besar.
Kesimpulan
Memahami rangka masa dagangan bukan sekadar memilih jumlah data yang dipaparkan pada carta. Apa yang penting ialah memahami bahawa setiap carta memberikan gambaran yang berbeza tentang pasaran yang sama.
Semakin pedagang memahami pergerakan harga dalam rangka masa yang berbeza, semakin jelas pemahaman mereka tentang keadaan pasaran dan bagaimana pergerakan harga berkembang dari semasa ke semasa.
Dalam pelajaran seterusnya, kita akan mempelajari Teori Dow, salah satu konsep asas dalam analisis teknikal, dan melihat bagaimana trend terbentuk serta mengapa trend penting dalam menganalisis pasaran kewangan.

